Pelakon Johan As’ari mengakui wujudnya ‘cinta lokasi’ diantaranya
dengan aktres Puteri Najwa ketika mereka sama-sama menjayakan drama
bersiri terbitan Temenggong Pictures Sdn Bhd iaitu Waris Kasih.
Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As’ari, 29, bagaimanapun
berkata, perasaan itu wujud hanya semata-mata untuk menjiwai watak
memandangkan mereka bergandingan sebagai pasangan kekasih dalam drama
bersiri itu.
“Sebagai seorang pelakon, ‘cinta lokasi’ itu perlu ada dalam
memberikan komitmen kepada watak yang dijayakan bersama heroin sesebuah
drama atau pun filem.
“Saya akui wujud hubungan itu dengan Puteri Najwa tetapi ia sekadar
untuk kami mendapatkan keserasian dalam mendalami watak yang
diamanahkan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Johan mengulas laporan ruangan gosip sebuah akhbar pada Ahad yang
mendakwa Johan cuba bermain cinta dengan Puteri Najwa dan tindakannya
itu mendapat perhatian daripada produksi.
Drama bersiri Waris Kasih bakal bersiaran menerusi slot Azalea di TV3 tidak lama lagi.
Dalam pada itu, menjelaskan mengenai perkara itu, Johan berkata,
hubungannya dengan Puteri Najwa kelihatan akrab berkemungkinan faktor
hanya mereka berdua terlibat ketika penggambaran diadakan di Sungai
Lembing, Kuantan Pahang.
Jelas Johan, dia tidak mempunyai sebarang niat tidak baik terhadap
aktres itu apatah lagi cuba memikatnya kerana menghormati wanita
berkenaan.
“Kami rapat sebab tiada pelakon lain ketika penggambaran di sana
kerana banyak babak hanya melibatkan kami sahaja. Itu pun Puteri Najwa
tidak berada lama di Sungai Lembing.
“Mungkin apa yang orang lain lihat cuma tanggapan mereka sahaja wahal tiada apa-apa berlaku diantara kami,” jelasnya lagi.
Johan turut menegaskan ‘cinta lokasi’ itu tidak terbawa-bawa sehingga
ke luar lokasi dan menjelaskan hubungannya mereka sekadar teman biasa
sahaja.
Malah kata Johan, selepas beberapa kali kecundang dalam percintaan
dia kini tidak terlalu memikirkan soal cinta sebaliknya ingin memberi
fokus kepada kerjaya lakonannya.
“Banyak pengajaran yang saya dapat daripada pengalaman lalu dan saya
sekarang tidak mempunyai teman istimewa dengan mana-mana wanita termasuk
Puteri Najwa.
“Selepas selesai penggambaran Waris Kasih kami juga tidak ada berjumpa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Johan berkata, dia kini sedang berehat
seketika sebelum memasuki set penggambaran drama berjudul Megat Panji
Alam untuk siaran TV Al-Hijrah.
Selain itu katanya, empat buah filem lakonannya iaitu Juvana 2,
Juvana 3, Tujuh dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior bakal
ditayangkan dipawagam pada tahun ini. – mStar