Jokowi Selamat Tiba Untuk Lawatan Rasmi Ke Malaysia @FaazFitriah

Presiden Indonesia, Joko Widodo dilapor selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk lawatan rasminya ke Malaysia yang bermula hari ini sehingga Sabtu.

Beliau yang menaiki pesawat khas Republik Indonesia disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan diberikan sambutan negara di perkarangan kompleks berkenaan.

Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi turut ditemani isterinya, Iriana Joko Widodo, menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Indonesia.

Lawatan beliau ke Malaysia ini merupakan lawatan rasmi pertamanya selepas dilantik sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober lepas menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono.

Program lawatan merangkumi upacara sambutan, majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dan majlis santapan negara pada Khamis.

Esok difahamkan bahawa Jokowi dijadual mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diikuti dengan mesyuarat delegasi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga akan mengadakan jamuan makan rasmi bagi meraikan Joko Widodo, Iriana dan delegasi Indonesia.

Jokowi juga akan melawat kilang Proton bagi meninjau peluang kerjasama di antara kedua negara dalam bidang automotif.


Jumlah perdagangan dua hala kedua negara pada 2013 adalah sebanyak RM61.1 bilion dan untuk tempoh Januari hingga November 2014 adalah RM54.7 bilion. -Kedahnews.com