Al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah mukjizat paling agung. Ia menjadi panduan utama umat Islam dari dulu, kini dan selamanya. Tidak akan sesat atau terpesong seseorang itu selagi mana dia berpegang kepada kitab suci ini dan juga sunnah Baginda SAW.
Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Aku tinggalkan kamu dua perkara selagi mana kamu berpegang teguh dengannya pasti kamu tidak akan sesat selama-lamanya iatu kitab Allah dan sunnahku. (riwayat Muslim)
Berbekal jaminan insan paling mulia yang juga kekasih Allah, maka amat tepat titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 13 Februari lalu supaya sebarang acara dianjurkan oleh istana dan kerajaan negeri seboleh-bolehnya dimulakan dengan bacaan petikan ayat al-Quran dalam situasi yang sesuai, dilengkapi dengan maksudnya.
Titah itu amat dialu-alukan dan bertepatan dengan usaha menjadikan al-Quran sebagai panduan dan juga amalan dalam kehidupan seharian. Malah, titah oleh Sultan Nazrin itu amat bermakna kerana baginda adalah ketua bagi agama Islam di negeri Perak.
Orang Islam sudah maklum bahawa al-Quran terdiri daripada 114 surah (86 surah Makkiyah, 28 surah Madaniyah), dengan jumlah ayat seluruhnya adalah 6,236 ayat (4,613 ayat Makkiyah dan 1,623 ayat Madaniyah). Isi ajaran yang tercantum dalam al-Quran sesungguhnya meliputi tiga fasa iaitu:
* Cerita atau peraturan (masalah) masa lampau (sejak penciptaan malaikat, langit dan bumi dan sebagainya),* Peraturan masa kini (tatkala al-Quran diturunkan) dan* Peraturan untuk masa hadapan (sejak masa Rasulullah SAW, masa kini dan seterusnya hari kiamat).
Secara keseluruhannya, al-Quran berisikan peraturan hukum berkaitan dengan isu akidah, ibadah, muamalah, akhlak, hukum-hukum dan sebagainya.
Besarlah harapan agar usaha digerakkan ke aras merealisasikan titah tersebut ke arah melahirkan masyarakat yang berkualiti. Seterusnya menjadikan negeri dan negara yang makmur dan mendapat pengampunan sebagai mana kerajaan Saba’ di bawah kepemimpinan Ratu Balqis dalam zaman Nabi Sulaiman.
Di dalam kitab sejarah Al-Bidayah Wa Al-Nihayah, dijelaskan ketinggian tamadun Saba’ ini mempunyai beberapa keistimewaan jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun Arab lain. Antara keistimewaan tamadun itu adalah aspek ketakwaan kepada Allah SWT dan akidah yang tulen.
Maka dengan sebab inilah Saba’ disifatkan sebagai negara yang makmur dan negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Ini dirakam menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. (al-A’raaf: 96)
Usaha memperdengarkan bacaan al-Quran dalam majlis-majlis di Perak adalah usaha murni yang boleh memupuk kepada membudayakan kitab suci itu dalam hidup kita. Kehebatan al-Quran sudah terbukti dalam mendidik jiwa manusia menjadi insan berakhlak dan bertakwa.
Ini telah terbukti apabila kita merujuk kepada kisah yang membawa kepada pengislaman Saidina Umar al-Khattab. Beliau dikenali sebagai seorang yang amat keras penentangannya terhadap Islam semasa zaman jahiliah. Tetapi hati keras yang dimiliki oleh beliau ‘cair’ apabila mendengar dan membaca ayat Allah dalam surah Taha ayat 1 hingga 5.
Mendengarkan kalam-kalam Allah itu menyebabkan sendi Saidina Umar lemah dan bergetar kerana terpegun dengan kehebatan ayat-ayat tersebut. Akhirnya beliau memeluk Islam dan menjadi pendokong Islam yang hebat serta insan yang paling hebat dalam mempertahankan dakwah Rasulullah SAW.
Memulakan majlis dengan bacaan al-Quran dapat memberi ketenangan dan melembutkan hati mereka yang mendengarnya. Apabila jiwa tenang, maka mudahlah menerima pesanan-pesanan kebaikan dan seterusnya diamalkan. Hati yang lembut akan mudah tersentuh dengan saranan melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah.
Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:
Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram. (ar-Ra’d: 28)
Di dalam Islam, bukan membaca al-Quran saja menjadi ibadah dan mendapat pahala serta rahmat Allah tetapi mendengarkan bacaannya pun begitu juga. Tentang pahala orang yang mendengar bacaan al-Quran telah dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud:
Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikan lah tenang, agar kamu mendapat rahmat...(al-A’raaf: 204)
Mendengar bacaan al-Quran dengan tenang juga dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang yang mendengar bacaan al-Quran dengan baik. Demikian besarnya mukjizat kitab suci ini, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan mendengarkannya.
Malah semakin kerap kita membaca dan mendengarnya, semakin terpikat kita kepada al-Quran. Apabila al-Quran dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu akan lebih memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarnya dan bertambah imannya.
Keadaan orang mukmin apabila mendengar bacaan al-Quran digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allahlah mereka bertawakal.(al-Anfaal: 2)
Antara hikmah yang terdapat dalam al-Quran adalah sebagai kitab hidayah.
* Ia berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Alif laam miin. Kitab (al-Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (al-Baqarah: 1-2)* Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya al-Quran Ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu’min yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar... (al-Isra’: 9)
Oleh itu al-Quran memberi petunjuk kepada orang yang baik dan orang yang sesat. Al-Quran memberi petunjuk kepada jalan yang betul dan jalan Allah yang lurus dan memimpin manusia kepada keredaan Khaliq, kemenangan memperoleh syurga dan pembebasan dari api neraka.
Al-Quran ialah kitab Allah yang kekal dan mukjizatnya bertahan sehingga hari kiamat. Memadailah Allah mewakilkan diri-Nya dengan menjamin bahawa al-Quran tidak akan berubah dan berpinda atau diseleweng dan ditokok tambah. Ia dinyatakan menerusi firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr: 9)
Justeru al-Quran memberi petunjuk kepada individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya ke arah jalan yang betul. Ia juga memimpin bahtera manusia ke perairan yang aman dan daratan yang selamat. -Utusan