KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengeluarkan
saman ke atas pemandu kenderaan persendirian yang merokok ketika
memandu, tetapi saman boleh dikenakan terhadap pemandu kenderaan awam
dan pelancongan yang melakukan perbuatan itu.
Beberapa blog dan pengguna media sosial sebelum ini mendakwa JPJ
mengeluarkan saman ke atas seorang pemandu kereta dengan catatan
kesalahan ‘Menghisap rokok semasa memandu’ bertarikh 27 Jan 2015.
Sebagai melahirkan rasa tidak puas hati, beberapa pengguna media
sosial telah memaparkan gambar pegawai penguatkuasa JPJ merokok ketika
memandu kenderaan agensi berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam JPJ Mohamad Sazali Baharudin berkata JPJ
hanya mempunyai kuasa mengeluarkan saman ke atas pemandu yang merokok
ketika memandu kenderaan awam dan kenderaan pelancongan seperti yang
terdapat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT)
2004.
Katanya, JPJ tidak pernah mengeluarkan sebarang saman ke atas
kesalahan merokok ketika memandu kenderaan persendirian dan saman yang
menjadi viral dalam media sosial tersebut mungkin dikeluarkan oleh
agensi penguatkuasa lain.
“Kita telah melakukan semakan ke atas saman yang disiarkan dalam
laman sosial dan mendapati bahawa anggota penguatkuasa JPJ tidak pernah
mengeluarkan saman tersebut seperti yang didakwa oleh pihak yang tidak
bertanggung jawab,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Mohamad Sazali berkata setiap kesalahan merokok di dalam kenderaan
awam boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, didenda tidak melebihi
RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun. – BERNAMA