Selepas mendakwa mendengar ‘pertengkaran’ melibatkan pembantu
juruterbang dengan juruterbang pesawat, kira-kira 20 orang penumpang
pesawat Malindo Air bertindak turun dan enggan menaiki penerbangan
tersebut.
Dalam satu laporan portal tempatan, kejadian yang berlaku minggu lalu
itu dikatakan mengejutkan seluruh kabin kerana pertengkaran mereka
sangat kuat.
Menurut salah seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Kee,
insiden tersebut menyebabkan kebanyakan penumpang merasa terganggu
lantas bertindak keluar dari pesawat.
“Mereka bertengkar dengan cukup serius sehingga menyebabkan
seorang penumpang warga asing meninggalkan tempat duduk, diikuti 20
penumpang yang lain.
Kami masuk dan menunggu di dalam ruang bangunan lapangan terbang.
Sejurus selepas itu, juruterbang pesawat datang bersemuka dengan kami
untuk meminta maaf dan meminta kami naik pesawat semula.”
Namun demikian, Kee berkata, tujuh daripada keseluruhan jumlah
penumpang memutuskan untuk tidak naik kembali ke pesawat dan menaiki
penerbangan lain menuju Kuala Lumpur.
Pesawat tersebut kemudiannya meneruskan penerbangan selama 52 minit
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas menuju Lapangan Terbang
Subang selapas tertunda selama 50 minit.
Namun demikian, ketika mengulas mengenai kejadian tersebut, Pengarah
Komunikasi dan Perhubungan Awam Malindo, Raja Saa’di Raja menafikan
insiden tersebut sambil berkata, ia berkemungkinan berlaku akibat salah
faham dari penumpang.
“Daripada laporan penerbangan yang diterima dan juga pemahaman
serta pemerhatian yang dilakukan, kapten pesawat hanya memberikan arahan
kepada pembantunya dengan nada kuat dan tegas, sebagai persiapan untuk
berlepas dari lapangan terbang itu.
Bagaimanapun selepas mendengar arahan yang kuat, penumpang
pesawat mengambil keputusan untuk keluar dari pesawat dan kami juga
tidak dapat memahami punca penumpang membuat keputusan itu.”
Sempat memohon maaf atas insiden tersebut, beliau turut berkata, ia
merupakan prosedur lazim yang akan dijalankan kesemua juruterbang dan
pembantunya.
Sumber: Mynewshub.cc