"Kalau Mahkamah Kata Anwar Tak Salah, Terima Sahajalah.." - Tun M

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta semua pihak supaya menerima apa sahaja keputusan yang akan ditentukan esok oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kes liwat II membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik laporan sebuah portal hari ini, Tun Dr Mahathir berkata bahawa dalam sebuah negara yang mempunyai sistem perundangan, apa sahaja keputusan yang dibuat mahkamah perlu diterima sama ada Anwar dibebaskan atau sebaliknya.

“Rakyat mesti terima (sebarang keputusan). Negara ini ditadbir dengan undang-undang.

“Kalau mahkamah berpendapat dia (Anwar) tak salah, kita terima sahajalah.

“Jangan ada orang kata nanti, kalau orang besar buat salah, tak apa (dibebaskan),”ujar Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung nasihatnya kepada orang ramai yang akan ke Istana Kehakiman esok.

Esok, Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan berhubung rayuan pembelaan berkenaan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atas Anwar oleh Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas.

Sebelum ini, Anwar didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium di ibu negara. -Kedanews.com