Kanak-Kanak Ditumbuk, Dilibas Tali Pinggang Kerana Tak Belikan Rokok Di Seremban

Gambar Hiasan
Hanya kerana tidak membawa balik rokok yang dipesan, seorang bapa yang jelas kejam dan tidak bertanggungjawab tergamak sanggup mendera anak kandung sendiri.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Sikamat, Seremban dan menimpa seorang kanak-kanak malang berusia enam tahun yang ditumbuk di bahagian muka, dipukul dan dilibas dengan tali pinggang.

Pihak polis yang menerima aduan kemudiannya datang menyelamatkan budak tersebut yang lari ke rumah jirannya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Zaki Harun berkata, mangsa diselamatkan pada jam 11.30 pagi baru-baru ini di rumah jirannya.

ZAKI HARUN / OCPD SEREMBAN

“Mangsa yang melarikan diri ke rumah jirannya memberitahu dipukul pada muka selain dilibas dengan tali pinggang pada tubuh oleh bapanya,” kata Muhamad Zaki yang dipetik kenyataannya dari akhbar Berita Harian.

Jelas Muhamad Zaki, siasatan awal pihak polis mendapati bahawa suspek telah mengarahkan mangsa membelikannya rokok tanpa memberikan wang.

“Apabila mangsa pulang tanpa rokok, suspek menumbuk muka mangsa, memukulnya menggunakan tali pinggang dan menendang dadanya sebelum menghalaunya keluar," katanya.

Difahamkan bahawa kanak-kanak tersebut kemudiannya telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan manakala suspek ditahan pihak berkuasa itu untuk siasatan lanjut terhadapnya. -Kedahnews.com