KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
hari ini bertitah kerajaan perlu meneruskan kecemerlangan pentadbiran
Wilayah Persekutuan bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Seri Paduka bertitah kecemerlangan pentadbiran penting kerana keadaan
ekonomi peringkat global pada tahun 2015 mungkin meruncing berikutan
penurunan harga minyak di seluruh dunia, yang akan memberi impak
langsung ke atas ekonomi negara.
“Beta berharap dengan kecemerlangan pentadbiran ini akan memastikan
kemakmuran, kesejahteraan dan keceriaan yang berpanjangan bagi rakyat
Beta di bumi bertuah Wilayah Persekutuan.
“Oleh itu juga, sayugia seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga
Wilayah Persekutuan, untuk terus bekerja keras dan dengan penuh iltizam
bagi memakmurkan negara Malaysia yang tercinta,” titah baginda pada
majlis istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah
Persekutuan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana
Negara di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri
Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Wilayah Persekutuan
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan Menteri Kabinet lain
turut serta dalam majlis yang diadakan di Balairung Seri tersebut.
Tuanku Abdul Halim turut mengucapkan tahniah kepada pentadbiran di
bawah pimpinan Najib kerana kecemerlangan mereka dalam merancang
pembangunan dan mengurus pentadbiran di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, baginda menggesa semua lapisan masyarakat agar
bersatu hati dan memberi sokongan padu kepada jentera pentadbiran
kerajaan dalam menghadapi cabaran tahun ini.
Seri Paduka juga mahu rakyat mengetepikan perbezaan kaum selain
mengeratkan lagi silaturahim tanpa mengira kaum, keturunan, agama dan
fahaman.
Mengimbas peristiwa penting pada 2014, baginda bertitah negara telah
menghadapi pelbagai ujian tanpa diduga, termasuk pergolakan ekonomi
dunia yang memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Namun titah Yang di-Pertuan Agong, dengan kebijaksanaan dan kecekapan
kerajaan, Malaysia telah dapat mengharungi kemelut ekonomi tersebut,
malah dapat menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang terus memberangsangkan.
Menyentuh tentang banjir besar yang melanda negeri-negeri pantai
timur pada penghujung 2014, baginda bertitah walaupun menghadapi
kesukaran, rakyat telah sama-sama tampil untuk menghulurkan bantuan dan
sumbangan dalam pelbagai aspek kepada mangsa banjir.
“Sesungguhnya, Beta berasa amat simpati atas nasib yang menimpa
rakyat Beta. Namun, Beta juga percaya, setiap daripada musibah yang
berlaku itu ada terselindung rahmat di sebaliknya,” titah Seri Paduka.
Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri,
kerajaan serta semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir.
“Beta amat yakin bahawa ia bukan sahaja akan mengukuhkan lagi tali
persaudaraan sesama kita, malah akan menjadikan kita lebih teguh, lebih
kuat dan sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi segala kemungkinan yang
mendatang,” titah baginda.
Kepada penerima-penerima pingat tahun ini, baginda juga mahu mereka
menjaga maruah dan nama baik diri sewajarnya bagi mengekalkan kemuliaan
dan martabat darjah dan pingat kebesaran yang dikurniakan.
Mendahului senarai 356 penerima pingat dan darjah kebesaran tahun ini
ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dianugerahi Seri
Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Antara penerima lain tahun ini termasuk pelakon aksi antarabangsa
Jackie Chan yang menerima Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran
Datuk.
Ketua Biro Sarawak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Abdul Aziz Harun turut dikurniakan pingat Ahli Mahkota Wilayah. – BERNAMA