AGAK berliku-liku juga kemelut yang berlaku antara pasangan pelakon
Azad Jasmin dan isterinya, Eira Syazira dengan syarikat perniagaan multi-level marketing (MLM), Rania Marketing Sdn. Bhd.
Bermula dengan dakwaan mereka mengenai hampir 1,000 pelabur tidak
mendapat pulangan sepatutnya, pasangan itu kemudiannya membuat laporan
polis apabila pemilik syarikat itu pula yang mendakwa Azad dan Eira
melarikan sejumlah duit orang bawahan.
Justeru, satu sidang media telah diadakan oleh pihak Rania Marketing bagi menjelaskan keadaan sebenar.
Menurut duta syarikat, Mohd Hisham, Datin Muniroh Shuhaimy dan
suaminya tidak pernah menuduh Azad dan Eira melarikan wang tersebut,
sebaliknya hanya memberitahu mereka mempunyai rekod pendapatan terkumpul
hampir RM200,000.
Mereka turut mengalu-alukan pasangan itu supaya datang ke pejabat
Rania Marketing untuk berbincang terus daripada memberi kenyataan kepada
media.
“Kenyataan dia dah kelirukan ramai orang termasuk semua dalam
industri MLM. Bila berlaku macam ni, orang pandang rendah MLM. Kalau
boleh Azad datang cakap secara gentleman,” katanya.
Pada masa sama, Hisham turut meminta hampir 1,000 pelabur yang
dinyatakan oleh Azad itu supaya berjumpa dengan mereka bagi membuat
semakan.
“Rania Marketing ada plan dan pakej pemasaran yang tersendiri malah
berdaftar dan dikawal selia oleh KPDNKK. Kami menyediakan plan tertentu
dan plan ini perlu difahami oleh semua orang.
“Kami yakin wujud kekeliruan dan salah faham daripada pihak Azad,” ujarnya.
Nampaknya kedua-dua pihak sudah memberikan penjelasan, namun ia
dilihat belum mampu menjernihkan keadaan selagi masing-masing tidak
bertemu dan hanya memberikan kenyataan di media.
Harapnya perkara ini dapat diputuskan dengan sebaik-baiknya tanpa
melibatkan mahkamah yang mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun
untuk diselesaikan.
Sumber: Mynewshub.cc