PUTRAJAYA - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014
akan diumumkan pada 3 Mac ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM).
KPM dalam kenyataan hari ini berkata, calon-calon boleh mendapatkan
keputusan peperiksaan SPM mereka dari sekolah masing-masing selepas 10
pagi hari yang sama.
Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh
menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar dahulu,
kata kenyataan itu.
KPM juga menyediakan perkhidmatan semakan keputusan peperiksaan SPM
melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM jarak taip nombor kad pengenalan
jarak taip angka giliran dan hantar ke 15888.
Perkhidmatan tersebut akan diaktifkan bermula 10 pagi, 3 Mac dan ditamatkan pada 11.59 malam, 9 Mac.
Kenyataan itu juga menyebut majlis pengumuman analisis keputusan SPM
2014 akan diadakan pada hari sama, pada 9 pagi di Blok E8, Kompleks
Kerajaan Parcel E di sini.
Seramai 455,839 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2014 di 3,655 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu 400,351 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan
kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan; 8,241 calon sekolah di
bawah agensi kerajaan selain KPM (contoh: Maktab Rendah Sains MARA);
7,957 calon sekolah menengah agama negeri; 12,066 calon sekolah swasta
yang berdaftar dengan KPM; 25,701 merupakan calon persendirian manakala
baki 1,523 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat. - Bernama