KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 akan dikeluarkan pada 2 Mac ini.
Menurut kenyataan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), calon sekolah
boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing pada tarikh itu
mulai pukul 12 tengah hari sementara calon persendirian individu akan
memperoleh keputusan mereka melalui pos.
“Di samping itu, calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui
SMS dengan menaip STPM RESULT <jarak> <No. Kad Pengenalan) dan
menghantarnya ke 15888 serta secara talian dengan melayari portal MPM di
http://www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari pada tarikh berkenaan,”
menurut kenyataan itu.
Sidang akhbar pengumuman analisis keputusan peperiksaan itu akan
diadakan pada hari yang sama pada pukul 12 tengah hari di Dewan Besar,
MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves.
Sebanyak 42,854 calon hadir menduduki peperiksaaan itu di 756 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 42,316 orang iaitu 98.74 peratus adalah calon
sekolah kerajaan, 368 calon sekolah swasta (0.86 peratus), 151 calon
persendirian individu (0.35 peratus), 17 calon sekolah kerajaan negeri
(0.04 peratus) dan dua calon sekolah integriti. – BERNAMA