Kerajaan Negeri Haramkan Fahaman Selain Ahli Sunnah Wal Jamaah

Alor Setar - Kerajaan Negeri Johor mengharamkan kemasukan atau sebarang aktiviti penceramah yang mempunyai pengaruh fahaman Wahabi, Syiah atau yang menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim menegaskan, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sentiasa bertindak menangani perkara itu kerana ancam­an akidah menerusi fahaman batil itu semakin membimbangkan.

“Masalah ini sudah kritikal dan viral. Kita mendapat perkenan Sultan Johor baru-baru ini untuk memerangi ancaman ini. Kita akan sekat walau dengan apa cara sekalipun. Bahagian Penguat Kuasa akan ambil tindakan tegas dengan menahan penceramah terlibat.

“Setakat ini kita kesan lebih 500 kes dan antara ramai penceramah yang kita kesan ialah membabitkan penceramah berstatus selebriti yang dilahirkan daripada program realiti dakwah,” katanya yang dipetik dari Utusan, kelmarin.

Selain itu, Abd. Mutalip berkata bahawa antara langkah diambil dengan memantau penceramah luar yang cende­rung ke arah fahaman itu termasuk tulisan, buku dan isi kandungan ceramah mereka.

Beliau sekali lagi mengingatkan kepada semua penceramah supaya mendapatkan tauliah untuk mengajar selain mempunyai kebenaran bagi menyampaikan ceramah daripada JAIJ sebelum diluluskan untuk menjalankan aktiviti di negeri ini.

Menurutnya lagi, kebanjiran pence­ramah sebelum ini tidak terkawal dan alasan penganjur menjemput mereka termasuk berstatus selebriti kelahiran program realiti itu adalah untuk menarik lebih ramai umat Islam datang ke program keagamaan.

Pihaknya menegaskan bahawa bukan sahaja akan mengambil tindakan tegas terhadap penceramah yang didapati menyeleweng, malah penganjur juga akan didenda kerana perkara itu mengancam akidah, syariah, akhlak dan negara.

“Semuanya jelas dan tidak boleh dibahaskan lagi. Amalan Islam di Johor adalah mengikut Enakmen 2014 yang berlandaskan akidah ASWJ, iaitu ibadahnya mengikut ajaran Imam Shafie, tasaufnya pula mengikut Imam Al-Ghazali, akidahnya mengikut Abu Musa dan Abu Hassan Al-Syari,” jelasnya. -Kedahnews.com