GEORGE TOWN – Kes demam denggi di Pulau Pinang terus menunjukkan
peningkatan dengan 908 kes direkod sehingga 14 Feb lepas, berbanding 294
kes bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu meningkat sebanyak 208.84
peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan
Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata dua kematian
akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh tersebut, sama seperti tahun
lepas.
“Ketika ini terdapat 25 lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata bagi daerah Timur Laut, lokaliti wabak terkawal yang
dikenal pasti ialah Kuarters Polis Fasa 2; Apartment Greelane Height;
Jalan Khaw Sim Bee; Jalan Logan; Lengkok Dumbar; Lintang Macallum; Solok
Besi; Solok Dunlop; Apartment Sri Saujana; Taman Pinang; Lebuh Rambai;
Taman Sri Sari; Fettes Park dan Flat Uda.
Bagi daerah Barat Daya pula, lokaliti wabak terkawal ialah Lintang
Bukit Kecil dan Taman Sri Acres, manakala di daerah Seberang Perai Utara
(SPU) ialah di Taman Limbungan Kapal.
Lokaliti wabak terkawal di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ialah
Taman Kimsar; Taman Bukit Kecil; Permatang Tinggi; Taman Permata; Taman
Selamat dan Taman Machang Bubok, manakala di daerah Seberang Perai
Selatan (SPS) lokaliti ialah di Taman Sri Aman dan perkampungan Valdor.
Dr Afif berkata lapan lokaliti wabak tidak terkawal turut dikenal
pasti iaitu Desa Green dan Jalan Haji Hashim Imam di daerah Timur Laut;
Apartment Lavinia (Barat Daya); Solok Tenggiri, Flat Lorong Tuna dan
Taman Budiman (SPT); Taman Molek (SPU) serta Jalan Batas Ban (SPS).
Beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri juga mengenal pasti enam
lokaliti titik panas iaitu Taman Free School dan Mewah Court di daerah
Timur Laut serta Pearl View Chai Leng, Lengkok Inderawasih, Lorong Kota
Permai dan perkampungan Machang Bubok di daerah SPT.
Sehubungan itu, Dr Afif mengingatkan masyarakat supaya terus
mengambil langkah pencegahan awal termasuk melakukan pemeriksaan dalam
rumah dan kawasan sekitar bagi mengenal pasti serta menghapuskan tempat
pembiakan nyamuk aedes, setiap minggu.
Beliau turut menasihati orang ramai yang mengalami demam dan
tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit sendi, muntah, ruam dan kurang
selera makan supaya mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.
– BERNAMA