Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan bahawa pihak Polis DiRaja
Malaysia (PDRM) tidak akan sesekali melindungi kesalahan anggotaanya, termasuk dua anggota polis yang didakwa
memeras ugut dan merogol siswi sebuah kolej baru-baru ini.
Menerusi sidang media di Maktab PDRM Cheras, Khalid berkata, pihaknya
kini sedang dalam proses mengumpulkan bukti dan bakal berbincang bersama
peguam negara bagi membuat pertuduhan ke atas individu tersebut.
Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa pihaknya telah mengeluarkan arahan supaya kedua-dua
anggota itu ditahan tugas dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh.
"Kita tidak akan
lindungi mereka. Kita akan kumpul bukti dan bila siap, kita akan
bincang dengan peguam negara dengan tujuan untuk membuat pertuduhan.
"Saya juga telah arahkan tindakan tahan kerja dibuat dan siasatan dalam terus dibuat," katanya yang dipetik dari sebuah portal, semalam.
Ahad lalu, dua anggota polis ditahan kerana dituduh melakukan
perbuatan terkutuk tersebut terhadap seorang penuntut universiti berusia
19 tahun.
Menurut gadis yang menjadi mangsa itu, anggota tersebut mengambil kesempatan setelah dia dan
teman lelakinya ditangkap sedang melakukan seks di dalam sebuah kereta pada 26
Januari lalu di sekitar Kota Damansara.
Sebagai "upah" menutup mulut, gadis tersebut dipaksa menyerahkan sejumlah wang dan habuan seks kepada anggota berkenaan. -Kedahnews.com