ALOR SETAR - Sebuah kilang perabot dan kilang kasut yang terletak di
dalam premis yang sama di kawasan perindustrian Mergong di sini musnah
dalam kebakaran tengah hari ini, menyebabkan kerugian kira-kira RM1
juta.
Anak pemilik kilang perabot, Teoh Boon Sin, 30, berkata ketika
kejadian, tiada pekerja di dalam kilang tersebut kerana ditutup selama
10 hari bersempena Tahun Baharu Cina dan hanya dibuka semula Rabu ini.
Katanya kesemua barangan di dalam dua kilang yang beroperasi sejak 10
tahun itu musnah termasuk dua buah lori yang diletakkan di dalam kilang
tersebut.
"Kebetulan saya lalu di kawasan itu dan saya nampak ada banyak asap.
Saya terus ke tempat kejadian dan terkejut apabila kilang bapa saya yang
terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar Md
Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.07 tengah
hari dan sampai pada jam 12.17 tengah hari.
Katanya lima buah jentera Bomba dengan kekuatan 34 anggota dikerah
untuk mengawal kebakaran daripada merebak, dengan kebakaran dapat
dikawal sepenuhnya pada 12.48 tengah hari.
Beliau berkata pihaknya turut dibantu 144 anggota Bomba Sukarela dengan kekuatan 24 jentera.
"Kebakaran bermula dari kilang perabot terlebih dahulu sebelum merebak
ke kilang kasut yang terletak berhampiran di dalam satu bangunan itu
yang mengakibatkan 85 peratus bangunan itu musnah," katanya.
Punca kebakaran sedang disiasat. - Bernama