Komplot Jatuhkan Abdul Hadi: Mat Sabu Beri Kenyataan Jika Diminta Jawatankuasa Siasatan Sahaja


BUTTERWORTH – Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau hanya akan memberi kenyataan kepada jawatankuasa khas siasatan parti bagi menjawab dakwaan wujud komplot menjatuhkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sekiranya diminta berbuat demikian.

Sambil mengulangi perkara itu apabila diasak pemberita, Mohamad atau Mat Sabu enggan mengulas lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada parti untuk tindakan selanjutnya.

“Saya hanya akan memberi kenyataan kepada jawatankuasa khas siasatan yang dipengerusikan presiden PAS berkenaan segala tuduhan kepada saya kerana ia masalah dalaman parti, sekiranya diminta.

“Kedua, berkenaan kedudukan saya di dalam parti, saya serahkan kepada muktamar serta kebijaksanaan perwakilan.

“Yang ketiga, berkenaan tindakan saya terhadap TV3, Utusan Malaysia dan mana-mana media, saya serahkan kepada peguam saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perbicaraan kes isu komunis Bukit Kepong di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dipetik sebagai berkata bahawa parti itu telah memulakan siasatan terhadap dua pemimpin kanan yang menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Abdul Hadi.

Mustafa dilaporkan berkata Mat Sabu dan pengarah pilihan raya parti Dr Mohd Hatta Ramli akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Satu rakaman suara berdurasi dua minit 10 saat didakwa mengandungi perbualan Mat Sabu yang mahu menjatuhkan kepimpinan Abdul Hadi tersebar meluas di laman sosial sejak Isnin lepas.

Ditanya mengenai kesahihan rakaman suara itu, Mat Sabu berkata beliau tidak tahu dan belum mendengar rakaman berkenaan kerana ketika ia mula tersebar, beliau berada di luar negara. – BERNAMA