Selepas kontroversi melanda ekoran tindakan kumpulan Kpop B1A4
mencium dan memeluk beberapa orang peminat wanita bertudung ketika sesi
bertemu peminat awal tahun lalu, ramai pihak terutama NGO Islam menggesa
kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran konsert-konsert
artis luar negara.
Lantas itu, konsert penyanyi Taeyang atau nama sebenarnya, Dong
Young-bae, diberi tumpuan agar peristiwa sama tidak berulang, apatah
lagi, penyanyi tersebut sememangnya digilai ramai peminat wanita.
Namun demikian, konsert pelantun lagu Eyes, Nose, Lips yang telah
berlangsung semalam dilihat lancar tanpa sebarang insiden kontroversi
seperti berpelukan mahupun bersentuhan.
Ramai pihak memuji kecekapan penganjur yang sensitif terhadap isu
tersebut lantas mengingatkan bekas ahli kumpulan Big Bang itu untuk
menjaga tingkah laku agar tidak mengulangi kesilapan B1A4.
Malahan, Taeyang juga dilihat meletakkan tangannya di belakang
sebagai cara untuk mengelakkan dari bersentuhan dengan peminat-peminat
wanita Islam.
Melalui beberapa keping foto, Taeyang bijak mengendalikan suasana
ketika mendekati peminat dengan tidak menghulurkan tangannya untuk
disambut mereka. Ya lah, kadang-kadang, ‘fans‘ yang terlalu fanatik sampai tak ingat dunia!
Melalui status di laman Twitter, ada peminat yang memuji tindakan
penyanyi tersebut untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang dilakukan
rakan artis senegaranya.
Walaupun bukan beragama Islam, namun Taeyang berjaya membuktikan
bahawa dia mampu untuk menghormati prinsip agama lain dan dalam pada
masa yang sama, menghiburkan peminat yang memenuhi ruang stadium.
Tahniah buat Taeyang!
Fikir-fikir balik, pihak NGO dan badan berwajib patut juga memberi penjelasan dan amaran buat ‘die hard fans‘ yang terlalu fanatik dan tidak mengawal batas pergaulan walaupun berhijab dan menutup aurat!
Sumber: Mynewshub.cc