KANGAR – Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani, Datuk Mohd Arif Ab Rahman mahu satu pasukan khas ditubuhkan bagi
menyiasat punca sebenar berlaku longgokan beras di sebuah kilang swasta
di Behor Mali dekat sini sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Beliau yang melawat Kilang Beras Dibok Sdn Bhd (Dibok) itu hari ini berkata pasukan itu perlu turut diwakili pihak audit.
Padiberas Nasional Berhad (Bernas) perlu dipanggil di samping Unit
Kawal Selia Padi dan Beras kementerian memberi penjelasan, katanya
kepada pemberita.
Pihak kementerian tidak dimaklumkan tentang lambakan itu, sebaliknya apa yang dilaporkan segala urusan berjalan baik, tambahnya.
“Setelah dilaporkan pihak media, saya datang sendiri melihatnya.
Barulah diketahui keadaan sebenar bagaimana masih terdapat sebanyak 629
metrik tan beras tersimpan dalam kilang ini menyebabkan pihak kilang
tidak ada ruang untuk menyimpan padi sekiranya mereka membeli padi
daripada para petani untuk diproses dalam musim menuai sekarang,”
katanya.
Kilang Beras Dibok adalah antara lima kilang beras swasta di Perlis
yang dilantik Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk membeli dan
memproses padi yang dijual para petani.
Setelah padi diproses dan beras dihasilkan, beras akan dikeluarkan oleh Bernas untuk dijual di pasaran.
Beliau berkata sepatutnya setelah invois dikeluarkan Bernas kepada
kilang terbabit, beras perlu dikeluarkan daripada kilang dalam tempoh
tidak melebihi dua minggu, bukan hingga tiga tahun sebagaimana yang
berlaku.
Mohd Arif berkata Dibok memberi jaminan akan memproses dan menggred
semula beras menggunakan mesin baharu yang siap dipasang dan semua beras
akan dikeluarkan Bernas dalam tempoh tiga bulan.
Pengarah Urusan Dibok, Marzukhi Othman berkata apabila beras
dikeluarkan Bernas dari kilang itu, pihaknya boleh mula membeli padi
petani bagi musim penuaian akan datang. – BERNAMA