Jika sebelum ini agak "hangat" dengan beberapa isu "kecurian" yang didakwa Indonesia
terhadap Malaysia sebelum ini seperti kononnya "hak milik" batik, wayang dan lagu ‘Rasa
Sayang’ adalah eksklusif milik budaya negara jiran itu, kini timbul pula satu lagi cerita.
Kedengarannya agak kelakar dan hampir tak masuk akal apabila sebuah persatuan
dilapor berkumpul bagi memaklumkan kepada Malaysia bahawa kulit popiah atau
dikenali sebagai "lunpia" merupakan warisan Indonesia dan mendesak
Malaysia tidak membuat sebarang tuntutan mengenainya.
Protes ‘Save Lunpia’ yang dilakukan di hadapan Kedutaan Besar
Malaysia di Jakarta itu dikatakan telah dianjur oleh Forum Masyarakat Peduli Budaya
Indonesia (FormasBudi) dan dihadiri puluhan peserta.
Dalam satu kenyataan kepada media, koordinator FormasBudi Rahmulyo
Adiwibowo mendesak Kerajaan pimpinan Jokowi supaya segera mengisytihar "lunpia" sebagai hak milik warisan budaya Indonesia.
“Kerajaan Indonesia perlu mengambil langkah (awal)
agar (lunpia) tidak diambil Malaysia. Caranya adalah dengan menetapkan
(lunpia) sebagai warisan budaya nasional.
“Jangan sampai (lunpia) menerima nasib seperti batik, wayang dan lagu
Rasa Sayang. Pemerintah perlu mengambil langkah pencegahan,” katanya.
Sementara itu, pada 17 Oktober tahun lalu, Kementerian Pendidikan dan
Kebudayaan Indonesia telah menetapkan popiah sebagai budaya warisan
nasional.
Malahan, Pejabat Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Tengah juga
bakal membuat usul kepada UNESCO agar mengiktiraf makanan ringan itu
sebagai warisan dari Indonesia.
Dalam protes berkenaan, peserta turut memberikan popiah Semarang
kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed
Hashim.
Mungkinkah itu namanya "provokasi" diplomasi ala-ala Indonesia pada Malaysia? -Kedahnews.com