Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali dengan panggilan Jokowi |
KUALA LUMPUR – Kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia,
Khamis ini, bakal mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara kedua-dua
negara, selain menjadi medan menyelesaikan beberapa isu yang tertangguh
sejak sekian lama, kata Duta Besar Indonesia di Malaysia, Herman
Prayitno.
Beliau berkata Malaysia sebagai destinasi pertama lawatan negara
Presiden Indonesia yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan juga
mencerminkan pengekalan tradisi yang diamalkan sejak sekian lain.
Malaysia merupakan destinasi pertama bagi lawatan negara Presiden
Indonesia yang mesra disapa ‘Jokowi’ selepas mengambil alih tampuk
pimpinan republik itu Oktober lepas.
“Pemerintahan Jokowi melanjutkan pemerintahan terdahulu yang dipimpin
Susilo Bambang Yudhoyono di mana persahabatan dan perhubungan dengan
Malaysia yang serumpun ini tetap (dikekalkan).
“Kunjungan bilateral pertama (ke Malaysia) ini juga menunjukkan
hubungan kedua-dua negara secara politik, ekonomi, kebudayaan dan
emosionalnya sangat dekat.
“Ini tradisi…kunjungan hormat. Presiden baru akan perkenalkan diri,
ceritakan apa-apa yang akan dikerjakan lima tahun ke depan. Polisi dalam
politik, ekonomi dan budaya…apa yang bisa disesuaikan dengan Malaysia,”
katanya dalam satu temu bual ekslusif dengan Bernama baru-baru ini.
Pada kunjungan itu, Jokowi bakal disertai Ibu negara Iriana serta Menteri Luar, Retno Marsudi dan delegasi lain.
Isu sempadan Malaysia-Indonesia dan pekerja dijangka menjadi antara
topik utama yang akan dibincangkan Jokowi dengan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dalam lawatan tiga hari itu.
Herman berkata dalam isu pembatasan maritim, Indonesia bukanlah
berhasrat mahu memperluaskan sempadan lautannya seperti yang dicurigai
banyak negara.
“Kita (Indonesia) bilang kita negara maritim tapi tak bermaksud kita
ingin invasi atau rebut wilayah orang lain. Kita hanya inginkan rakyat
Indonesia tahu bahawa sumber kita yang terbesar adalah di laut.
“Jadi, kita hanya ingin menegakkan kedaulatan laut agar kita bisa
mengolah sumber yang banyak untuk memakmurkan Indonesia,” jelasnya yang
berharap isu persempadanan laut dan darat dengan Malaysia dapat
diselesaikan menjelang hujung tahun 2015.
Rundingan pembatasan maritim antara Malaysia dan Indonesia turut melibatkan Selat Melaka, Laut Sulawesi and Laut China Selatan.
Menyentuh isu pekerja, khususnya dalam isu pembantu rumah yang
sehingga kini belum menemui penyelesaian, Herman berkata perbincangan
kedua-dua pemimpin dijangka berkisar tentang usaha memudahkan urusan
penghantaran tenaga kerja ke Malaysia.
Katanya, Indonesia tidak keberatan untuk terus membekalkan tenaga
kerja namun harus disertakan dengan jaminan perlindungan yang bagus
dalam memastikan kebajikan rakyatnya terpelihara.
Untuk tujuan itu, jelasnya menteri-menteri berkaitan akan berbincang
dari segi aspek teknikal demi mengelakkan berlaku lagi masalah di
kemudian hari.
“Dari segi jangka panjang, kita hanya ingin kirim tenaga profesional
seperti di sektor perkilangan dan perkebunan. Untuk pembantu rumah
tangga mungkin sedikit demi sedikit kita akan kurangi kerana sukar untuk
kita awasi,” kata Herman.
Dalam pada itu, ditanya sama ada berlaku sebarang perubahan dasar
dengan peralihan kepimpinan di republik itu, Herman berkata: “Tidak,
kerana semua presiden mengikuti undang-undang dasar di negara kita.”
Menyentuh soal pembangunan kereta Asean yang pernah disuarakan Najib,
duta itu berkata Indonesia berpandangan positif dan tidak mempunyai
masalah untuk bekerjasama dalam bidang itu.
“Presiden Jokowi nanti akan kunjungi Proton. Siapa tahu kalau kita
bekerjasama kita mungkin berjaya hasilkan mobil Asean dari induknya
Proton,” jelasnya.
Sementara itu, Herman yang menjadi Duta Besar Indonesia di negara ini
sejak 2012 mengharapkan kunjungan Jokowi dapat membawa hubungan
kedua-dua negara ke tahap yang lebih baik.
“Saya betul-betul mengharapkan kunjungan ini berjalan lancar, aman
dan membawa kenangan indah bagi kedua-dua rakyat Indonesia dan
Malaysia,” katanya. – BERNAMA