KXP: Status Kajian Dijangka Keluar Bulan Depan - Norsabrina


ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berharap kajian kebolehlaksanaan (feasibility) berhubung hasrat membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim diperoleh lebih awal bagi membolehkan kerja-kerja asas dimulakan.

Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu status kajian terbabit yang dijangka diperoleh Mac depan.

“Bagaimana pun kita cuba mohon agar kajian kebolehlaksanaan itu dipercepatkan agar perancangan awal dapat dimulakan lebih awal, kerana projek itu mengambil masa untuk disiapkan,” katanya.

Kajian itu bagi memudahkan cara memproses keputusan yang akan dibuat di peringkat persekutuan kerana ia melibatkan banyak kementerian seperti Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan serta Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.

Norsabrina berkata, sementara menunggu hasil kajian, pihaknya turut membuat kajian tersendiri dari pelbagai aspek termasuk kewangan.

“Pembentangan kertas kerja pembinaan lapangan terbang ketiga di Kedah itu sudah dilakukan 46 kali secara berterusan, termasuk dibentangkan kepada Kementerian dan agensi terlibat dan pejabat Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, kertas kerja yang lengkap akan dibentangkan semula kepada Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Badlisham Ghazali, dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Norsabrina berkata, pihaknya mendapat sokongan daripada kedutaan Jepun dan sembilan syarikat Jepun yang melabur di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang mahu pembinaan lapangan terbang itu menjadi kenyataan.

“Kelmarin, saya menyambut ketibaan Duta Jepun yang mengadakan lawatan ke KHTP meninjau syarikat Jepun yang membuat pelaburan di Kedah. Mereka semua beri sokongan dan yakin ia bakal memanfaatkan industri mereka,” katanya.

Mengulas sama ada perancangan projek mega itu terjejas gara-gara penyusunan semula Bajet 2015 oleh kerajaan pusat yang diumumkan Perdana Menteri, 20 Januari lalu, Norsabrina berkata, setakat ini ia tidak berkaitan kerana projek masih di peringkat dokumentasi.

Norsabrina yang juga Adun Bandar Baharu berkata, kajian dan justifikasi sebuah lapangan terbang baharu wajar dibina di Selatan Kedah sudah dilakukan, antaranya untuk melengkapkan pembangunan secara menyeluruh di KHTP selaras dengan Pelan Transformasi KHTP.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa bagi Zon Utara itu bakal menawarkan perkhidmatan kargo dan penumpang.

Cadangan awal projek dijangka melibatkan belanja RM1.6 bilion atas keluasan tanah 6,000 hektar, bagi menampung keperluan pengangkutan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), Pulau Pinang yang semakin terhad selain permintaan tinggi pengguna.

Mukhriz yakin kewujudan lapangan terbang itu bakal merancakkan ekonomi di Zon Utara termasuk selatan Thailand, bahkan menjadi pencetus kepada pertumbuhan ekonomi bukan hanya di Kedah malah Perlis, Pulau Pinang dan Perak.