Lelaki Akhirnya Dicekup Setelah Sebulan Baling Daging Babi Ke Masjid Di Pulau Pinang


Sebuah masjid di Butterworth, Pulau Pinang, dikatakan telah menjadi mangsa sabotaj seorang lelaki sejak tempoh kira-kira sebulan yang lalu sebelum dia dicekup pihak berkuasa baru-baru ini.

Tindakan biadab lelaki tersebut Masjid Telaga Air itu difahamkan telah lama dihidu oleh pihak Jawatankuasa masjid berkenaan dan anak qariah yang selalu berjemaah di situ.

Memetik sumber, lelaki berusia 40-an itu dikatakan telah beberapa kali melakukan perbuatan kurang ajar terhadap masjid berkenaan sehingga menimbulkan rasa kurang senang pihak pengurusan masjid dan jemaah.

Justeru itu, pihak masjid  beberapa kali mengadakan solat hajat secara berjemaah dan bacaan Yasin bagi mendoakan agar onar tersebut tidak berulang lagi.

Kemuncaknya, lelaki tersebut dilapor telah membaling daging babi ke pekarangan masjid tersebut dan kali itu dia tidak dapat melepaskan diri setelah pihak polis segera bertindak ke atasnya.


Setiausaha masjid itu, Ahmad Taufiq Saedon berkata, tindakan lelaki itu mengakibatkan pihak­nya terpaksa mengeringkan kolam wuduk yang terletak berhampiran pagar masjid itu dan tidak lagi digunakan sejak sebulan lalu berikutan risau ia dicemari daging babi.

“Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi ini selepas dipercayai membaling satu bungkusan berisi daging babi ke dalam kawasan masjid dan cuba melarikan diri dengan motosikal.

“Namun tindakan pantas anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan itu berjaya menahan lelaki tersebut dan di bawa ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya yang dipetik dari sumber.

Tambahnya lagi, pihak masjid kini bersyukur individu terbabit telah ditahan pihak berkuasa dan menganggap kes itu telah selesai serta memberi kelegaan kepada para jemaah yang kini boleh beribadat tanpa was-was lagi.

Mengulas mengenai kes berkenaan, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan, turut mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Difahamkan juga bahawa pihak berkuasa itu telah mendapatkan perintah tahanan reman dari Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab di Kompleks Mahkamah Butterworth dan suspek ditahan selama empat hari bermula kelmarin. -Kedahnews.com