Lelaki India Sanggup Menyamar "Mat Saleh" Sebab Nak "Ehem" Dengan Wanita Australia

Deepak Dhankar
MELBOURNE – Seorang lelaki kelahiran India dan kini warga Australia dijatuhi hukuman kerja amal 200 jam dalam masa dua tahun kerana menyamar menjadi Caucasia hanya untuk melakukan hubungan seks dengan seorang wanita tempatan.

Akhbar-akhbar pada Khamis melaporkan, Deepak Dhankar, 29 tahun, mengaku bersalah dan menyesal di hadapan hakim mahkamah daerah Victoria, Jane Patrick, kerana memperdaya mangsa sebagai ‘Mat Saleh’ untuk bersetubuh dengan wanita itu.

Menurut media Australia, Dhankar yang bekerja sebagai perancang kewangan, mula berkenalan dengan mangsa pada 2012 dengan menyamar sebagai Jamie selepas anak ketiganya lahir dan isterinya enggan berasmara akibat masalah kesihatan.

Mereka sering berhubung menerusi laman sosial secara talian sebelum mangsa tertarik dengan imej Jamie kerana terpesona melihat foto-foto lelaki itu yang berotot sasa dan rambut warna perang, lantas mengajak tertuduh datang ke rumahnya.

Dhankar, yang berhijrah ke Australia pada 2003 untuk menyambung pengajian di universiti; dipercayai menerima pelawaan mangsa dan mereka mengadakan hubungan seks dengan wanita itu meniarap di katil bilik tidurnya sambil menutup mata.

Aksi ranjang mereka terganggu seketika apabila bayi kecil wanita itu merengek menangis dan ketika itulah baharu mangsa menyedari Jamie bukan lelaki Caucasia apabila terlihat rambut dan tangan lelaki berkenaan sebenarnya adalah berwarna gelap.

Deepak Dhankar diiringi isteri dan peguam belanya ketika keluar dari mahkamah daerah Victoria. – Gambar hiasan
Ironi, wanita itu masih menyambung semula aktiviti seks seperti biasa kerana bimbang keselamatan diri terancam namun, selepas kejadian itu, dia menjadi murung dan kecewa kerana tidak percaya ditipu Dhankar hidup-hidup sebagai Mat Saleh.

Patrick ketika membaca penghakimannya berkata, Dhankar nyaris dihukum penjara tetapi terselamat kerana tertuduh secara jujur kemudian mengaku kepada mangsa dia lelaki India dan menyesal mengambil kesempatan terhadap wanita itu.

“Dhankar dan isterinya malah sedang berusaha membangun semula hubungan yang positif demi tiga anak mereka,” kata hakim selain memberi peringatan kepada masyarakat agar waspada dengan kenalan baharu menerusi aplikasi talian maya.

Sambil menegur Dhankar mengabaikan isteri yang sakit ketika itu kerana curang dan cuma mahu memenuhi nafsu dengan wanita lain, Patrick bagaimanapun memuji tertuduh tidak bertindak ganas dan memberi ruang mangsa melayan anak kecilnya.

Beliau juga menasihati wanita tempatan supaya jangan membenarkan lelaki tidak dikenali terus memasuki rumah hanya kerana mahu mengadakan hubungan asmara dengan kenalan yang baharu diketahui melalui laman sosial. – Agensi