Baru-baru ini kecoh di Sungai Petani mengenai seorang pengguna laman Facebook yang dikenali sebagai Wan Teriyaki dikatakan telah melabel seluruh anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai "biadap, bongkak dan berlagak".
Dia mengutuk PDRM di atas satu cerita yang dikatakan kononnya berlaku di depan matanya sendiri di mana seorang "awek" dan teman lelakinya telah ditendang jatuh dari motorsikal dengan "tanpa sebab" oleh seorang anggota polis.
Status berkenaan telah dikongsikan di sebuah laman page Facebook, Penduduk Sungai Petani Kedah.
Menurut sumber dalaman Kedahnews.com, pihak berkuasa telah memeriksa dakwaan Wan Teriyaki di seluruh daerah Kota Kuala Muda dan mendapati tiada sebarang laporan atau operasi yang membabitkan insiden yang dikatakan pengguna laman Facebook itu.
Malah kata sumber berkenaan, status Wan Teriyaki itu seolah direka-reka untuk mensensasikan keadaan dan tidak logik untuk dipercayai, apatah lagi tiada sebarang laporan polis dibuat di atas kejadian tersebut.
Sumber kami turut menegaskan bahawa tindakan menendang motorsikal tidak ada di dalam "standard of procedure" (SoP) di dalam operasi pihak berkuasa kerana tindakan mereka lebih menjurus kepada operasi mencegah berbanding menghukum.
Pada Kedahnews.com, sekiranya benar pun berlaku insiden menendang jatuh awek pembonceng motorsikal dan teman lelakinya, adalah tidak masuk akal jika pihak berkuasa bertindak begitu "tanpa sebab" sebagaimana yang didakwa Wan Teriyaki.
Takkanlah tiba-tiba saja anggota polis nak "terajang" jatuh penunggang motorsikal dan pemboncengnya tanpa sebab?
Apatah lagi tiada sebarang bukti yang dikemukakan pemilik laman sosial tersebut.
Peliknya, Wan Teriyaki mendakwa PDRM "tidak beradab langsung" kerana
menendang awek dan teman lelakinya itu, namun apakah dia fikir pasangan itu "sangat beradab"?
Apapun, sekiranya dakwaan Wan Teriyaki itu benar-benar berlaku, dia diminta untuk menghubungi balai polis berdekatan untuk membuat laporan sewajarnya.
Sebelum ini, imej pihak PDRM seolah sengaja dijejaskan pihak tertentu bagi tujuan menjatuhkan kreadibiliti pihak berkuasa berkenaan yang sedang cuba dipulihkan akibat beberapa insiden salah laku segelintir anggotanya.
Sehingga kini, pihak berkuasa menegaskan bahawa mereka tidak teragak-agak untuk bertindak terhadap anggota badan berunifom itu yang melakukan kesalahan atau mana-mana individu yang menyebarkan fitnah memburukkan mereka, khususnya di laman sosial. -Kedahnews.com