"Magik" Berlaku Di Taman Perumahan Bandar Sejahtera, Pembeli Rayu Pembelaan Kerajaan Negeri


ALOR SETAR - Kedahnews.com baru-baru ini telah dihubungi menerusi laman Facebook oleh salah seorang anak Kedah yang mengadu mengenai nasib mereka yang membeli rumah di Bandar Sejahtera, Pokok Sena, Kedah.

Menurut pemilik akaun Facebook tersebut, Zulhilmi Ahmad, dia dan para pembeli taman perumahan tersebut telah menerima kunci rumah masing-masing pada 22 Disember tahun lalu, namun malang rumah yang dikatakan "siap" hanya indah khabar dari rupa.

Katanya, meskipun lewat menerima kunci dari pemaju berbanding perjanjian selama setahun, mereka tidak menerima satu sen pun wang pampasan yang sepatutnya diberikan oleh pihak pemaju.

Zulhilmi mendakwa, unit-unit rumah yang tidak sempurna pula memerlukan masa untuk mereka mengadu kepada pihak pemaju dan perlu dibaiki sebelum diduduki menyebabkan mereka tidak dapat pindah ke rumah baru tersebut.

Menyedihkan, rakan-rakan kita yang membeli rumah di Bandar Sejahtera yang "tidak sejahtera" itu memberitahu bahawa kerja-kerja pembaik pulih taman perumahan tersebut sering tertangguh akibat tidak cukup kakitangan yang dihantar pemaju.

Paling mengejutkan, apabila rumah mereka dipasang meter air oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), berlaku pula pelbagai perkara "magik" dan "luar biasa" yang sangat mengejutkan seperti rakaman video pendek di bawah!


Zulhilmi turut menjelaskan bahawa sebahagian dari pembeli rumah tersebut telah mengajukan masalah yang mereka hadapi kepada Mahkamah Tribunal Pengguna dan pihak pemaju telah diberikan tempoh selama 30 hari untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, tempoh tersebut akan "expired" dalam beberapa hari saja lagi dan sekiranya pihak pemaju gagal menyelesaikan masalah-masalah itu, para pembeli taman perumahan itu tidak teragak-agak untuk mendesak pihak Kerajaan Negeri untuk campur tangan dalam masalah tersebut.

"1/3 pembeli telahpun ke Tribunal Court n award telah dikeluarkan kepada pemaju. Tempoh 30 hari berbaki 6 hari, sekiranya mereka ingkar award, maka arang akan dicontengkan ke muka Pentadbiran Kedah. Ini pasti," tegas Zulhilmi pada Kedahnews.com.

Bandar Sejahtera Pokok Sena dilancarkan pada 14 Januari 2010, dikendalikan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) iaitu Seri Temin Development (M) Sdn Bhd dan projek itu melibatkan 1,811 unit pelbagai jenis rumah dan dibangunkan mengikut fasa.

Projek itu mengandungi 579 rumah teres kos rendah, 785 unit rumah teres dua tingkat, 246 rumah berkembar setingkat, 192 rumah teres satu setengah tingkat dan sembilan rumah banglo.

Dilaporkan bahawa projek Bandar Sejahtera itu dianggarkan bernilai RM230 juta dan diperkenalkan ketika Kedah di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak, yang dipertanggungjawabkan kepada Exco berkaitan ketika itu.

Pada pandangan Kedahnews.com, tidak perlulah dilihat sama ada projek berkenaan diperkenal oleh PAS atau UMNO. Mana-mana pihak sekali pun, isu ini membabitkan nasib rakyat yang memerlukan pembelaan sewajarnya.

Ini bukan isu politik, jadi tidak perlulah dipolitikkan pihak tertentu nanti. Kita sama-sama bantu apa yang termampu bagi menyelesaikan masalah kawan-kawan kita di Bandar Sejahtera berkenaan.

Justeru itu, kami memohon dari Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim dari dipimpin oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, untuk tampil membantu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak-anak Kedah di Bandar Sejahtera tersebut.

Mungkin pihak Kerajaan Negeri boleh mengatur perbincangan di antara para pembeli rumah di Bandar Sejahtera dengan pihak pemaju seberapa segera untuk mencapai kata sepakat dalam "win-win situation" dalam masalah berkenaan.

Kami di Kedahnews.com mendoakan agar masalah itu akan dapat diselesaikan dengan baik dan semoga Kedah terus aman makmur di serata-ratanya. -Kedahnews.com