SESI telesidang media yang dikatakan akan diadakan oleh bekas anggota
Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar akan tetap diadakan esok
walaupun dilaporkan Imigresen Australia masih belum memberikan
kelulusan.
Perkara itu dimaklumkan oleh PAS Datuk Mahfuz Omar yang berkata ia
akan tetap berlangsung untuk semua media pukul 11.30 pagi di Ibu Pejabat
PAS di Jalan Raja Laut di ibu negara.
Sirul Azhar ketika ditanya berkenaan kelulusan dari pihak berkuasa
pusat tahanan memaklumkan beliau tidak tahu menahu mengenainya, menurut
laporan The Malaysian Insider (TMI).
Mahfuz berkata wartawan hanya dibenarkan bertanya beberapa soalan sahaja kepada Sirul Azhar dalam telesidang itu nanti.
“Saya tidak tahu butirannya… Saya bukan bertujuan untuk dia bercakap
atau buat sesuatu. Saya pun tidak tahu. Saya hanya hendak bagi peluang
kepada media.
“Kalau sebelum ini, hanya Malaysiakini saja mendapat akses
berkomunikasi dengannya, sekarang saya hendak beri supaya dia boleh
bercakap dengan semua media, walaupun sekadar mengulangi apa yang
disampaikan kepada Malaysiakini,” katanya.
PAS, pada Jumaat lepas mengumumkan akan mengadakan satu sesi
telesidang selama 15 minit bersama bekas anggota UTK itu yang kini
ditahan di Australia atas kesalahan Imigresen.
Sementara itu, memetik dari Sinar Harian, jurucakap Menteri Imigresen Australia, Peter Dutton menegaskan bahawa jabatan itu
secara umumnya tidak membenarkan sebarang temu ramah dengan Sirul di atas
sebab-sebab operasi.
Katanya, Jabatan Imigresen Australia juga tidak memberi sebarang kelulusan untuk mana-mana temu ramah televisyen sehingga kini.
Walau bagaimanapun, Dutton tidak menolak kemungkinan mengenai temu ramah itu sekiranya ia mendapat kelulusan dari pihak tertinggi di negara itu.
"Kami tidak menolak kemungkinan temu ramah boleh dilakukan pada masa
akan datang jika proses permohonan yang sepatutnya dipenuhi," kata
jurucakap itu.
Sirul sebelum ini bersama seorang lagi anggota UTK Azilah Hadri telah dijatuhkan
hukuman gantung sampai mati atas tuduhan membunuh wanita Mongolia
Altantuya Sharibuu.
Dia kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan
Perlindungan Sempadan di Sydney, selepas ditangkap di Queensland pada 20
Januari lepas.
Ia berikutan notis amaran merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa INTERPOL.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menghukum
Sirul dan rakan setugasnya bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri ke tali
gantung kerana membunuh Altantuya, membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan
pada 2013. -Kedahnews.com