Malaysia Kecam Tindakan Kejam ISIS Bakar Juruterbang Jordan Hidup-Hidup

Malaysia bersama-sama dengan kerajaan dan rakyat Jordan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan gerakan Negara Islam Iraq Syria (ISIS) yang membunuh Juruterbang Tentera Udara Jordan, Muath Kasasbeh.

Muath sebelum itu dilaporkan telah dibakar hidup-hidup sehingga mati dalam keadaan terkurung dalam sebuah sangkar besi.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan media hari ini berkata, pihak Malaysia terkejut dengan tindakan ISIS yang tergamak membakar hingga mati juruterbang itu yang ditangkap pada 24 Disember tahun lalu.

Muath ditangkap ISIS selepas jet pejuang yang dikendalikannya ditembak jatuh ketika itu di Hamra Ghannam, Syria.

Anifah berkata, pembunuhan yang kejam itu adalah manifestasi amalan ganas dan tidak berperi kemanusiaan ISIS terhadap kemanusiaan sejagat.

“Malaysia dan Kerajaan serta rakyat Jordan pada saat-saat hiba ini bersatu dalam mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan tindakan keganasan ISIS,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Anifah lagi, Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga Muath serta Kerajaan Jordan.

“Semoga keluarga beliau diberikan kekuatan untuk menghadapi saat-saat getir yang berlaku ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muath telah dibunuh pada 3 Januari lepas selepas menawarkan wartawan Jepun Kenji Goto sebagai pertukaran untuk membebaskan pengebom berani mati yang dijatuhi hukuman bunuh, Sajida al-Rishawi.

Kenji Goto dipancung kepalanya dan ditayangkan menerusi video yang disiarkan Sabtu lalu oleh militan IS, seminggu selepas rakannya, Haruna Yukawa dibunuh.

Jordan bertindak balas dengan menjalankan hukuman mati terhadap dua tahanan warga Iraq yakni wanita pengebom berani mati, Sajida al-Rishawi dan ahli kumpulan Al-Qaeda, Ziad al-Karboli.

Difahamkan bahawa mereka menjalani hukuman mati pada jam 4 pagi waktu tempatan. -Kedahnews.com