PENAHANAN seorang gadis berusia 14 tahun yang merancang ke Syria untuk menyertai militan Islamic States (IS) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kelmarin membuktikan masih ada rakyat negara ini yang mudah terpengaruh dengan panggilan ‘jihad’.
Penahanan terkini oleh polis itu menjadikan jumlah yang ditangkap berkaitan kegiatan militan IS di negara ini adalah seramai 68 orang.
Majoriti yang dipengaruhi menyertai kumpulan militan adalah mereka yang berlatar belakang pengajian agama. Barangkali disebabkan janji syurga kepada mereka yang mati syahid berjuang di jalan Allah, memudahkan golongan ini termakan dengan pujuk rayu walaupun hanya berkomunikasi melalui laman sosial terutama Facebook.
Memang berjihad itu ganjarannya besar. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Tuhan menjamin bahawa orang yang berjihad pada jalan Allah, jika ia keluar (berjihad), semata-mata berjihad untuk jalan (agama) Allah dan kerana membenarkan perintah-Nya, Tuhan akan memasukkannya ke dalam syurga, atau mengembalikannya ke tempat kediamannya semula dengan mendapat pahala dan rampasan. (Riwayat Bukhari).
Persoalannya, adakah benar gerakan IS sama ada di Syria, Iraq atau mana-mana negara lain itu boleh dikategorikan sebagai jihad?
Yang tersurat adalah gerakan IS ini lebih kepada kumpulan militan yang berjuang mengangkat senjata demi mencapai matlamat mereka menggulingkan kerajaan yang mereka tidak suka.
Sebuah gerakan jihad tidak akan membunuh sesuka hati. Lebih-lebih lagi jika sanggup membunuh sesama Islam sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan militan IS terhadap juruterbang dari Jordan, Maaz al-Kassasbeh pada 3 Februari lalu.
Walaupun Islam mengajak umatnya berperang menegak serta mempertahankan maruah dan harga diri, Islam tidak mengizinkan umatnya bermaharajalela di medan peperangan di atas nama peperangan.
Islam mengawal dan mengajar umatnya, sekalipun peperangan itu adalah peperangan, namun nilai-nilai keluhuran dan akhlak tetap wajib dituruti dan dipatuhi.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud:
Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas. (al-Baqarah: 190).
Jihad mempunyai maksud yang luas. Ia adalah usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh dan tidak semestinya membawa kepada peperangan atau pertempuran. Ini adalah kerana usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh fi sabilillah dapat diusahakan melalui jalan yang aman lagi adil dan bukannya ganas dan zalim.
Dalam zaman kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) musuh-musuh Islam mudah memperdaya kita dalam usaha memburukkan Islam. Mereka melancarkan propaganda kononnya Islamlah pembawa keganasan di atas muka bumi ini.
Sebab itu, kita tidak hairan apabila banyak pihak yang mengaitkan IS ini sebagai gerakan atau dakyah pihak Barat terutama melibatkan Amerika Syarikat. Ia didakwa dilakukan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) selain Mossad. -Utusan