MELAKA – Pegawai kerajaan di negeri ini perlu menguasai bahasa
inggeris bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan kepada orang ramai
terutamanya pelancong asing, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata Melaka sebagai destinasi pelancongan yang menerima
kunjungan pelancong asing setiap hari, adalah penting bagi pegawai
kerajaan di negeri ini menguasai bahasa inggeris bagi memudahkan
interaksi dan memberikan perkhidmatan terbaik.
Katanya, pegawai kerajaan di negeri ini terutamanya yang berkait
terus dengan sektor pelancongan memainkan peranan penting sebagai duta
kecil untuk memperkenalkan Melaka ke mata dunia.
“Dunia sekarang dilihat semakin kecil apabila kita semakin mudah
berkomunikasi dengan rakyat asing seluruh dunia, maka dalam menghadapi
cabaran ini pegawai kerajaan negeri sebagai duta kecil perlu menguasai
bahasa inggeris membolehkan mereka menerangkan segalanya tentang
Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan
Kerajaan Negeri di Dewan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang
turut dihadiri Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin
Sahib@Sahibuddin.
Idris berkata kerajaan negeri bersama UTeM sedang merangka program
bahasa Inggeris khas untuk pegawai di jabatan kerajaan negeri bagi
meningkatkan lagi kemahiran berbahasa.
Beliau berkata program tersebut memfokus kepada kemahiran berkomunikasi, penulisan dan bacaan yang akan bermula Mac ini.
“Program di bawah Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan UTeM ini akan
turut menawarkan kursus bahasa ketiga seperti bahasa Mandarin, Jepun,
Korea dan Arab kepada kakitangan awam yang berminat,” katanya.
Pada majlis perhimpunan itu, Bank Simpanan Nasional diwakili Timbalan
Ketua Eksekutif Sokongan Perniagaanya Datuk Yunos Abd Ghani menyerahkan
dua buah van jenazah kepada Idris bagi kegunaan Masjid Al-Ehsan di
Limbongan di sini dan Masjid Al-Abrar di Merlimau, Jasin. – BERNAMA