Mayat Ditemui Di Hutan Pedu Disahkan Lelaki Warga Tempatan Dari Pulau Pinang

UNIT Forensik IPK Kedah melakukan penggalian untuk mengeluarkan mayat yang di temui di Charuk Temingat, Padang Terap.
ALOR SETAR – Polis mengesahkan mayat yang ditemui ditanam di Hutan Simpan Tasek Pedu, Kuala Nerang Isnin lepas adalah seorang lelaki yang merupakan warga tempatan.

Memetik Bernama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata, mangsa berkenaan dikenali sebagai Ong Tiek Beng, 26, berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, meninggal dunia akibat kecederaan di leher.

Isnin lepas sekumpulan pencari madu menjumpai mayat seorang individu yang ditanam sedalam dua meter pada kira-kira 7 malam yang menemui kawasan tanah yang baru dikorek dan ditimbus semula dan melaporkan perkara itu kepada polis.

Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini petang semalam untuk bedah siasat.

Media sebelum ini diberitahu mengenai penemuan mayat berkenaan yang dilihat seolah seorang gadis dan penemuan tersebut turut dikaitkan dengan kehilangan dua orang gadis dari Sik yang dilapor tidak lama dulu. 

Dengan pengesahan pihak berkuasa itu, misteri kehilangan dua gadis berkenaan tidak dapat dipastikan statusnya. – BERNAMA