KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menganggap
kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadapnya yang
dianggap tidak pandai buat kerja dalam menangani krisis banjir baru-baru
ini sebagai tuduhan yang berat.
Katanya, sebagai seorang pemimpin di Kelantan, beliau lebih
mengetahui keadaan sebenar yang berlaku di negeri itu ketika menghadapi
musibah banjir terburuk penghujung bulan lalu termasuk kemudahan
aset-aset bantuan di setiap jajahan.
“Dia tu (Guan Eng) pelawat, datang ke Kelantan sehari. Kita ini
pemikul yang memikul (tanggungjawab di Kelantan). Berat ke tidak berat
ke (kita tahu), lagi pun banjir kali ini luar biasa. Kita bersedia
mengikut lumrah biasa.
“Apabila perkara (banjir besar) luar biasa berlaku sememangnya pada
peringkat pertama kita tidak dapat atasi 100 peratus terutama untuk kita
meninjau kawasan seperti Kuala Krai. Jadi kalau itu menyebabkan
seolah-olah kerajaan tidak buat kerja, ambo (saya) rasa tidak betul
lah,” katanya kepada media semalam.
Terdahulu, beliau menyampaikan sijil dan anugerah kecemerlangan
pelajar Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) Sesi 1 2014/2015 di Pengkalan
Chepa.
Ahmad turut menyifatkan tuduhan Guan Eng terhadapnya itu terlalu
serius kerana baginya orang yang melihat dengan mata kasar sahaja tidak
akan merasai apa yang sebenarnya dialami oleh mereka yang memikul
tanggungjawab sebagai pihak pelaksana amanah kepada rakyat.
Ahmad, yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad juga menegur
Setiausaha Agung DAP itu supaya tidak lantang serta berhati-hati dalam
mengeluarkan sebarang kenyataan yang dilihat bertentangan dengan
semangat kerjasama dalam PR.
Ditanya mengenai kelantangan Guan Eng yang dilihat banyak
mengeluarkan kenyataan mengkritik rakan dalam PR itu, Ahmad mengakui
tentang sikap pemimpin tersebut.
“Ia, ia (menghentam). Itulah, saya tidak tahu apa tujuan dia, apa
matlamatnya. Itu terpulanglah pada dia tetapi kita (Pas) terus dengan
cara dan pendekatan kita serta perjuangan kita.
“Kita mesti berhati-hati. Cakap boleh cakap semua tetapi biarlah ada kebaikannya. Jangan cakap sembarangan,” katanya.
Pada majlis itu,125 pelajar mendapat Anugerah Cemerlang, 80 diberikan
Anugerah Dekan, 13 meraih Anugerah Bestari, seorang dipilih menerima
Anugerah Pengerusi Lembaga Pengelola, 12 merangkul Anugerah Gemilang dan
Ahmad Thaqif Kamdani dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nilam. – Sinar Harian