KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu
(Maidam) akan meningkatkan penguatkuasaan khusus di kalangan golongan
remaja yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam, kata Ketua
Penguatkuasaan Syariahnya Mokhtar Salleh.
Katanya antara tumpuan penguatkuasaan termasuk ke atas mereka yang
menaiki motosikal bersama individu yang bukan muhrim, wanita berpakaian
mencolok mata dan lelaki berpakaian seperti wanita.
Mokhtar berkata, ketika ini ia bagaikan satu trend dengan kaum wanita
sering dilihat membonceng motosikal dalam keadaan tidak sopan dengan
lelaki yang tiada ikatan keluarga.
Katanya Maidam akan bekerjasama dengan pihak penguat kuasa seperti
polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika operasi bagi mengesan
pesalah yang melakukan perbuatan seperti ini.
“Kita akan terus mencegah perbuatan berkenaan daripada terus
berleluasa dari semasa ke semasa. Kita sebenarnya tiada kuasa untuk
menahan mereka di jalan raya dan oleh sebab itu kita bekerjasama dengan
agensi yang lain membanteras perbuatan tidak sopan ini.
“Jika kita kesan mereka tiada hubungan dan berkelakuan tidak senonoh,
kita akan panggil untuk sesi kaunseling sebelum diberi amaran dan
ditahan jika terus mengulangi perbuatan yang sama,” katanya kepada
pemberita selepas Ops Penguatkuasaan Tahun Baharu Cina dengan kerjasama
JPJ dan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melalui
Ops Motosikal di Jalan Batu Buruk di sini, malam tadi.
Dalam operasi yang bermula pukul 9 hingga 12 malam itu, Maidam turut
mengesan enam pasangan berkelakuan dan berpakaian kurang sopan serta
seorang lelaki berpakaian wanita.
Beliau berkata rata-rata mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga
26 tahun yang menaiki motosikal dengan lelaki bukan mahram.
Mokhtar berkata, ini merupakan penguatkuasaan kali pertama yang
disertai pihaknya bersama agensi penguatkuasaan lain setelah menerima
banyak aduan berhubung perkara ini yang dikhuatiri akan menjadi ikutan
anak muda lain sekiranya tidak dicegah.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan golongan wanita Islam di
negeri ini agar tidak mengenakan pakaian yang terlalu menjolok mata
kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan mereka didenda atau
dipenjara selama enam bulan. – BERNAMA