KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mencadangkan supaya
kes saman dua anak lelaki penumpang tempatan pesawat Malaysia Airlines
MH370 berhubung kehilangan pesawat itu yang dinaiki bapa mereka dalam
penerbangan ke Beijing pada 8 Mac tahun lepas, diselesaikan secara baik.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Dr S. Arunan yang mewakili
kedua-dua plaintif ketika ditemui pemberita selepas kes itu disebut
dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Rosnaini Saub.
Katanya, mahkamah menimbangkan perkara tersebut dengan mengambil kira
pengumuman kerajaan pada 29 Jan lalu yang mengumumkan secara rasmi
bahawa pesawat itu hilang dan diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah
peraturan penerbangan antarabangsa.
Dalam pengumuman itu kerajaan mengisytiharkan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap telah terkorban.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan yang
mewakili kerajaan berkata sekiranya tiada penyelesaian berhubung kes
itu, pihaknya akan memfailkan permohonan bagi membatalkan saman yang
dikemukakan dua beradik berusia 14 dan 12 tahun melalui ibu mereka, Ng
Pearl Ming, 39.
Katanya mahkamah menetapkan 18 Mac ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan berhubung penyelesaian kes itu.
Pada 31 Okt tahun lepas, dua beradik tersebut memfailkan saman dengan
menamakan Malaysia Airline System Berhad (MAS), ketua pengarah Jabatan
Penerbangan Awam (DCA), ketua pengarah Jabatan Imigresen, Panglima
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia sebagai
defendan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, dua beradik itu mendakwa bapa
mereka Jee Jing Hang, 41, penumpang pesawat MH370, telah memasuki suatu
kontrak perjanjian penerbangan dengan MAS dalam penerbangan dari Kuala
Lumpur pada 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing pada
6.30 pagi, 8 Mac.
Plaintif mendakwa menerusi perjanjian itu, MAS sebagai defendan
pertama seharusnya mengambil semua langkah yang wajib untuk memastikan
penerbangan yang selamat, namun telah memungkiri perjanjian itu apabila
gagal mendarat di Beijing dan tiada butiran lanjut mengenai pengakhiran
pesawat itu sehingga hari ini.
Selain itu, plaintif mendakwa ketua pengarah DCA sebagai defendan
kedua, yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan kawalan trafik udara
bagi memastikan penerbangan itu selamat, telah gagal dan cuai untuk
mengambil langkah secukupnya bagi mendapatkan perhubungan dan menjejaki
pesawat itu melalui radar.
Adik-beradik itu turut mendakwa Jabatan Imigresen telah gagal dan
cuai melaksanakan pemeriksaan rapi ke atas penumpang pesawat itu
sehingga membolehkan beberapa penumpang menaiki pesawat dengan
menggunakan pengenalan palsu.
Mereka juga mendakwa pihak TUDM gagal dan cuai untuk menghantar
pesawatnya dengan kadar segera bagi mengenal pasti pesawat yang tidak
dijadualkan telah muncul dalam sistem radar TUDM, berkemungkinan adalah
MH370.
Justeru, kedua-dua plaintif antara lain menuntut ganti rugi terhadap
kesemua defendan atas kehilangan bapa mereka yang merupakan penanggung
tunggal mereka, seorang ahli perniagaan berpendapatan bulanan RM16,865,
dan ganti rugi tambahan akibat penderitaan yang dialami dua beradik itu.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam
perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar
kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL
pada hari kejadian. Usaha mencari masih dijalankan di selatan Lautan
Hindi. – BERNAMA