Mufti Sarawak Tegaskan Ulat Mulong Difatwa Haram Dimakan Umat Islam

Alor Setar - Umat Islam di Malaysia diingatkan sekali lagi bahawa ulat sago yang lebih dikenali sebagai ulat mulong yang banyak terdapat di Sarawak adalah haram dimakan.

Mufti Negeri Sarawak, Datuk Kipli Yassin menegaskan bahawa keputusan fatwa bagi melarang umat Islam memakannya telah lama dibuat.

Namun katanya, mungkin ada di kalangan umat Islam yang tidak mengetahui mengenai fatwa yang telah dikeluarkan itu.

"Apabila kita berpegang kepada hukum dan membuat kajian, binatang ini telah ditetapkan sebagai jenis ulat dan dalam hukum fiqah, semua ulat tidak boleh dimakan kerana dianggap sebagai suatu yang jijik dalam Islam.

"Namun, ingin ditegaskan bahawa kita bukan menghalang masyarakat bukan Islam untuk memakannya, malah tidak mengganggu budaya mereka.

"Kita ada hukum agama masing-masing dan itu yang perlu diambil perhatian,” katanya yang dipetik dari Utusan, semalam.

Mufti Sarawak itu menjelaskan perkara berkenaan sejurus selepas majlis perasmian Bengkel Penyelidikan Fatwa dan Hukum 2015 di Kuching. -Kedahnews.com