Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak |
KUALA LUMPUR – Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
pada majlis sambutan Thaipusam di Batu Caves Selasa lepas tidak
menyalahi hukum syarak.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman
Mustapha berkata perkara itu diperjelaskan Mufti Perak Tan Sri Harussani
Zakaria pada 2012 yang mengatakan bahawa ia tidak bertentangan syarak
selagi tiada niat untuk merayakan atau reda dengan perbuatan agama lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melambai kepada para hadirin semasa hadir ke sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini. – Foto BERNAMA |
“Kehadiran perdana menteri di majlis sambutan Thaipusam di Batu Caves
akan menjadi isu setiap kali majlis itu berlangsung. Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 12 April 2005 telah mengeluarkan
Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang
Bukan Islam sebagai panduan dan rujukan.
“Selaku ketua kerajaan, perdana menteri telah sedia maklum mengenai
batas-batas dan garis panduan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini
hari ini.
Oleh itu, katanya, tidak timbul isu perdana menteri tidak boleh
menyertai acara sambutan rakyat bukan Islam kerana menyalahi akidah atau
bertentangan dengan kehendak agama seperti didakwa sesetengah pihak.
Mengenai pakaian yang dipakai perdana menteri semasa majlis itu,
Othman berkata ia juga tidak menyalahi garis panduan kerana kurta
merupakan pakaian tradisional bagi kaum lelaki India pada majlis rasmi
dan tidak timbul isu pelanggaran akidah.
“Saya ingin menasihatkan seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam
memperkatakan isu yang tidak diketahui secara jelas supaya penyebaran
isu-isu seumpama ini, lebih-lebih lagi berkait dengan akidah dapat
dielakkan bagi mengelakkan fitnah dan tohmahan di kalangan rakyat,”
katanya.
Selasa lepas, Najib meluangkan masa menyaksikan perayaan Thaipusam
ke-125 tahun di Kuil Sri Subramaniyar Swamy di Batu Caves dan sebagai
menghormati majlis, beliau berpakaian tradisional India, kurta berwarna
krim. – BERNAMA