Mengambil iktibar dari kes berpelukan dan bercium yang berlaku terhadap beberapa
orang gadis bertudung di sebuah sesi bertemu peminat bersama kumpulan
Kpop, B1A4 baru baru ini, sebuah NGO kini berkempen untuk memboikot
sebuah lagi konsert dari artis Korea Selatan yang bakal diadakan tidak
lama lagi.
Persatuan Belia Islam Malaysia (PEMBINA) menggesa agar kerajaan
membatalkan konsert penyanyi popular Korea, Taeyang, yang dijadual bakal
diadakan pada Sabtu depan di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Menurut Presidennya, Ibrahim Mohd Hassan, kempen tersebut telah digerakkan mereka melalui medium dalam talian.
“Kita tidak mahu anasir itu
mempengaruhi minda anak muda, mahu hiburan berlebihan sehingga
melahirkan masyarakat yang hanya mementingkan hiburan dan berada dalam
zon selesa.
"Kita tidak menghalang untuk berhibur. Budaya Kpop juga bukan satu
budaya di Korea yang mementingkan sopan santun dan perasaan malu," katanya yang dipetik dari sebuah portal, semalam.
Menyentuh soal kempen yang dijalankan, kata Ibrahim, medium media
sosial yang dipilih bertujuan umtuk memupuk kesedaran mengenai
keburukkan hedonisme ataupun hiburan melampau terutama untuk golongan
muda.
Ujarnya lagi, walaupun kesuntukkan masa kerana konsert itu akan
diadakan Sabtu depan, namun PEMBINA, persatuan yang bernaung di bawah
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu tetap akan meneruskan misi mereka
untuk kepentingan masa depan. -Kedahnews.com