Nik Abduh Dakwa Kumpulan IS, Presiden Syria Tali Barut Barat

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa Presiden Syria, Bashar al-Assad, dan kumpulan militan Negara Islam (IS) merupakan "tali barut" barat.

Kata anak Mursyidul Am PAS itu, kedua-dua pihak tersebut merupakan musuh Islam yang dipergunakan oleh barat untuk merosakkan dan mencemarkan nama Islam yang indah dan harmoni di mata dunia.

"Jangan tertipu dengan permainan musuh luar yang berusaha menghancurkan kebangkitan Islam.

"Mereka mencipta musuh baru dengan tujuan mengekalkan musuh lama yang lebih memberi keuntungan kepada mereka,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mendakwa bahawa rancangan kedua-dua pihak itu akhirnya akan menyebabkan umat Islam dalam kancah perang sesama sendiri .

Justeru itu, AJK PAS Pusat itu menyeru semua umat Islam agar berpegang teguh kepada Al-Quran, Hadis dan ijtihad para ulama yang amanah dan bertaqwa supaya bebas daripada fitnah. -Kedahnews.com