Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik
Nazmi Nik Ahmad meluahkan rasa marah dan geram atas tindakan pihak berkuasa kerana bertindak menahannya ketika berada di rumah sewaktu "lewat" malam.
Kata Nik Nazmi, ketika ditahan pihak polis kira-kira jam 10 malam semalam, anak kecilnya sedang tidur dan tindakan pihak berkuasa itu dianggap "aneh".
"Mengapakah (polis) perlu datang ke rumah saya pada lewat malam ketika anak kecil saya sedang tidur," katanya melepaskan geram, mengadu pada media.
Ketua AMK itu ditahan pihak berkuasa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan berhubung
kes sebuah perhimpunan haram yang dikatakan berlaku di depan sebuah pusat beli-belah sebelum ini.
“Sebagai wakil rakyat, saya tidak mungkin melarikan diri untuk apa-apa sebab.
“Mengapakah mereka perlu mengambil kenyataan saya pada tengah malam
jika mereka tidak mempunyai niat menahan saya. Saya bukan seorang
penjenayah ganas. Tuduhan ke atas saya bersifat politik dan seharusnya
dilayan sedemikian,” dakwanya dalam satu kenyataan semalam.
Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia
mendakwa pernah menyatakan akan memberi kerjasama kepada pihak polis
maka tidak perlu seramai 10 anggota polis dihantar bagi menahannya malam
tadi.
Justeru itu, dia melahirkan rasa kesal kerana dibawa dengan kereta
polis ke Balai Polis Jinjang bagi memberi keterangan sebelum dibebas kemudiaannya
atas jaminan polis pada jam 2 pagi.
“Saya tidak faham mengapa polis perlu memilih tindakan yang begitu dramatik hanya untuk merakamkan kenyataan saya,” dakwanya. -Kedahnews.com