“No Way Nak Minta Maaf”

Walaupun dihentam pihak pembangkang mahupun rakan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) kerana didakwa mengeluarkan kenyataan perkauman menerusi laman Facebook, Datuk Seri Ismail Sabri masih utuh dengan pendiriannya untuk tidak memohon maaf.

Sebaliknya, Ismail berkata, MCA seharusnya berterima kasih kerana beliau telah membela hak pengguna Cina yang turut sama terbeban dengan tindakan sesetengah peniaga yang enggan menurunkan harga barangan selaras dengan penurunan harga minyak di pasaran.

“Ramai pengguna kaum Cina yang kecewa kerana harga barang tak turun. Mesej saya, terima kasih dekat saya kerana bela mereka.

Jadi, mengapa kena minta maaf sebab saya bela rakyat yang tertindas kerana harga,” tegasnya di sebuah portal.

Disogok pula dengan tindakan pimpinan MCA yang masih berkeras mahukan beliau memohon maaf atas tulisannya, Ismail menjawab, “No way nak minta maaf.”

Namun demikian, dalam satu laporan beberapa hari lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti pimpinannya akan mengambil langkah untuk fokus kepada isu kenaikan harga berbanding isu lain termasuk isu perkauman.

“Jangan jadikannya sebagai isu perkauman, bila kita kaitkan isu kenaikan harga barang dengan kaum, ia akan jadi isu perkauman… Ini tak sepatutnya berlaku.” katanya seperti yang disiarkan di mStar. -Kedahnews.com