"Nur Jazlan Tidak Hormat Perdana Menteri'

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dianggap tidak menghormati ketua apabila mengkritik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggapnya tidak cukup tegas berhubung isu boikot peniaga yang enggan menurunkan harga barang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai ahli Parlimen daripada Umno yang mewakili BN, Nur Jazlan sepatutnya akur dengan kenyataan Najib dan menghentikan polemik mengenai perkara itu.

"Ramai yang terperanjat dengan kenyataannya (Nur Jazlan). Kita ada forum untuk menyampaikan pendapat, bukan melalui media. Ini bukan penyelesaian terbaik," katanya mengulas mengenai kritikan Nur Jazlan yang dianggap biadab itu.

Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) dalam satu kenyataan disiarkan semalam menyifatkan Perdana Menteri sebagai tidak cukup tegas ketika mengumumkan pendirian Kabinet.

Kritikan Nur Jazlan turut melibatkan pendirian Kabinet bahawa kenyataan terdahulu Ismail yang menggesa orang Melayu memboikot peniaga Cina yang berdegil enggan menurunkan harga barang tidak bersikap perkauman kerana gesaan itu ditujukan kepada peniaga semua kaum.

Mengenai kecaman yang ditujukan terhadapnya susulan kenyataan itu termasuk tuduhan rasis oleh  MCA pula, Ismail berkata, beliau telah bertemu dengan presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk mengatasi salah faham yang berlaku.

"Kabinet juga telah setuju soal menurunkan harga barang adalah tidak mengira kaum. 

"Perdana Menteri juga arahkan supaya dihentikan polemik saya dengan MCA dan saya tidak akan keluarkan sebarang kenyataan balas selepas diarahkan bertujuan untuk mengelak konflik dalaman BN," jelasnya.

Ismail turut mencabar Pakatan Rakyat supaya menunjukkan respons mereka terhadap peniaga yang tidak menurunkan harga barang.

“Kalau dulu mereka (PR) dan pihak-pihak yang bersekongkol berhimpun supaya kerajaan menurunkan harga minyak sekarang ini di manakah mereka?

“Tampil berhimpun dan gesa peniaga supaya turunkan harga barang. Itu yang kita nak tengok jika mereka benar-benar memperjuangkan rakyat,” cabar Menteri itu. -Kedahnews.com