KUALA LUMPUR – Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak merancang
untuk menamakan Nurul Nuha Anwar sebagai calon Pakatan Rakyat pada
Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang, kata Naib Presiden Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar.
Izzah yang juga anak sulung Anwar memberitahu, setakat ini Nurul Nuha
yang merupakan anak kedua daripada enam beradik akan memberikan tumpuan
terhadap kempen ‘March To Freedom’, yang diasaskan untuk menuntut
pembebasan bapa mereka.
Anwar dipenjarakan selama lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
“Tidak ada cadangan daripada pihak kami untuk umum pencalonan mana-mana pihak untuk bertanding (pilihan raya).
“Pada hari ini tumpuan khusus diberikan terhadap perjuangan menuntut
kebebasan Datuk Seri Anwar menerusi kempen March Of Freedom,” katanya
pada sidang media kempen tersebut di kediaman keluarga Anwar di Segambut
pada Rabu.
Nurul Izzah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pihak media
sama ada kempen yang diasas dan digerakkan oleh Nurul Nuha itu merupakan
satu usaha untuk membawa adiknya kepada masyarakat umum sebelum
melibatkan diri dalam politik.
“Berdasarkan rekod, bertanding di negara ini bukan mewakili parti pemerintah agak sukar dan mencabar.
“Setakat ini saya dan ibu, Datuk Seri Dr Wan Azizah telah terlibat
dalam politik dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk bertahan…kami
‘dipisahkan’ daripada bapa kami.
“Biarlah saya dan ibu meneruskan perjuangan (politik),” katanya.
Pada Rabu, anak kedua pasangan Anwar- Dr Wan Azizah itu mengumumkan
kempen March To Freedom sebagai perjuangan menuntut kebebasan ketua
pembangkang itu.
Beliau bertindak selaku pengasas dan bertanggungjawab menggerakkan kempen tersebut.
Pengenalan kempen itu bagaimanapun mewujudkan khabar angin bahawa ibu
kepada seorang anak itu akan menggantikan bapanya dengan bertanding di
kerusi Permatang Pauh yang kosong setelah Anwar terlucut jawatan ahli
Parlimen kerana dipenjarakan selama lima tahun. – mStar