Nurul Nuha Dakwa Bapa "Tahanan Politik", Mohon Pengampunan DiRaja Percaya "Tidak Bersalah"

KUALA LUMPUR – Anak kedua Ketua Umum PKR, Nurul Nuha Anwar menjelaskan bahawa permohonan pengampunan DiRaja yang dihantar kepada Yang DiPertuan Agong semalam adalah kerana percaya bapanya tidak bersalah.

Katanya, hak memohon pengampunan dari Yang DiPertuan Agong itu adalah sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

"Kami membuat permohonan petisyen bersandarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana ayahanda kami tidak bersalah,” kata Penyelaras #March2Freedom itu.

Nurul Nuha bagaimanapun mengakui petisyen memohon pengampunan DiRaja untuk Anwar yang dihukum penjara kerana meliwat itu merupakan inisiatif keluarga, bukan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Hari ini (semalam) merupakan minggu kedua ayah kami ditahan sebagai 'tahanan politik Malaysia'.

“Atas inisiatif keluarga, kami memutuskan untuk menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan berlakunya pengenepian prinsip-prinsip keadilan dan pembelaan daripada penganiayaan fitnah,” dakwanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Justeru, beliau menegaskan, mahkamah mungkin telah menjatuhkan hukuman bersalah tetapi keluarganya yakin Anwar yang juga Ketua Pembangkang tidak bersalah.

Media semalam melaporkan keluarga Anwar mengemukakan petisyen pengampunan diraja terhadap sabitan bersalah yang dikenakan ke atas beliau dalam kes liwat II.

Tindakan itu bagaimanapun dilihat bercanggan dengan kenyataan ramai pimpinan kanan PKR sebelum ini kononnya Anwar tidak akan memohon pengampunan kerana beliau tidak salah.

Ketika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan Anwar dari tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, seluruh keluarga Ketua Pembangkang dan penyokongnya memuji sistem kehakiman negara sebagai adil dan mendaulatkan keadilan.

Bagaimanapun, sistem kehakiman dikecam sebagai mengenepikan prinsip keadilan apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Anwar bersalah meliwat Saiful Bukhari dan rayuan bapa Nurul Nuha itu ditolak Mahkamah Persekutuan kemudiannya.

Selain itu, kerajaan Malaysia turut diseret keluarga dan penyokong Anwar dalam keputusan mahkamah berkenaan dan dikatakan telah campur tangan dalam mempengaruhi keputusan itu. -Kedahnews.com