Pakatan Rakyat Tidak Pernah Punya Undang-Undang Bertulis Untuk Singkir PAS - Rafizi

Alor Setar - Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa tiada parti di dalam Pakatan Rakyat yang akan tersingkir walaupun membuat tindakan yang tidak mendapat persetujuan mana-mana parti di dalam gabungan parti pembangkang itu.

Katanya, sejak penubuhan Pakatan Rakyat pada tahun 2008, tiada sebarang peraturan bertulis yang mengikat mana-mana parti dalam gabungan berkenaan yang belum didaftarkan secara sah pada Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan (RoS).

"Buat masa sekarang, tidak ada (peraturan berkaitan hal tersebut).

"Tiada ada peraturan bertulis yang meletakkan syarat-syarat ketat dan tertentu yang kalau dilanggar atau tidak dipatuhi, akan menyebabkan dikeluarkan dan terkeluar parti tersebut daripada PR," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung PKR itu difahamkan mengulas mengenai ugutan "kata dua" yang diberikan Ahli Parlimen DAP, Gobind Singh, yang menganggap PAS akan tersingkir dari Pakatan Rakyat sekiranya meneruskan pembentangan rang enakmen jenayah hudud di Parlimen pada 18 Mac ini.

PAS walau bagaimanapun menegaskan bahawa mereka akan tetap membentang rang undang-undang syariah berkenaan setelah menerima kerjasama dari Kerajaan Pusat Barisan Nasional yang memberikan "lampu hijau" sebelum ini.

"Perang" di antara PAS dengan DAP meletus selepas Kerajaan PAS Negeri Kelantan bertegas mahu melaksanakan hudud di negeri itu yang ditentang keras oleh DAP sebelum ini, dan ia bertambah meruncing apabila PAS turut membantah kehendak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mahu melaksanakan Pilihanraya Majlis Tempatan.

Meskipun sebelum ini "perang DAP-PAS" itu cuba diredakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Ketua Pembangkang, ia seolah-olah tidak dihiraukan oleh kedua-dua parti.

Nampaknya, kali ini Rafizi pula cuba mencari "jalan selamat" untuk meredakan kemelut dalaman Pakatan Rakyat yang berlarutan sejak setahun yang lalu dalam keadaan "retak menanti belah". -Kedahnew.com