KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi PAS mesti terdiri daripada
golongan ulama kerana dasar dan sumber tertinggi rujukan parti itu
adalah al-Quran, Hadis, Ijmak Ulamak dan Qisas.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, atas sebab
itu ahli PAS mesti memperteguhkan gagasan kepimpinan ulama dalam parti
kerana golongan itu yang boleh meletakkan sumber berkenaan dalam
memperkukuhkan hujah dan pandangan, bukan semata-mata menggunakan akal
fikiran.
“Gagasan kepimpinan ulama telah ditegas puluhan kali oleh ramai
Presiden PAS. Gagasan ini bukan usaha mengenepikan golongan professional
dan hanya mengambil ulama sahaja sebagai pemimpin kerana kita
mengulamakkan profesional dan memprofesionalkan ulama.
“Inilah keistimewaan PAS sebagai parti Islam yang semua pihak telah
menerima kepimpinan ulama sebagai dasar dan gagasan parti,” tegasnya
dalam satu kenyataan media hari ini.
Tuan Ibrahim dalam pada itu menerangkan, Nabi Muhammad S.A.W pernah ditawar menjadi raja, namun baginda menolaknya.
Jelas beliau, jika Nabi Muhammad S.A.W menerima tawaran itu, baginda
boleh menggunakan kuasa sebagai Raja untuk menyebarkan dakwah dan
memperkasakan Islam.
Katanya, bagaimanapun itu bukan kaedah yang diambil oleh baginda
sekaligus menunjukkan bahawa gagasan Islam mesti berjalan serentak
dengan usaha mendapatkan kuasa politik.
“Kemenangan Islam bukan hanya diukur dari keputusan dalam pilihan
raya sahaja. Sebaliknya kemenangan dakwah dan tarbiyyah dalam kalangan
manusia adalah gagasan besar gerakan Islam.
“Daripada sudut yang lebih luas pula, PAS adalah sebuah gerakan
dakwah di mana ukuran kemenangannya ialah sejauh mana dakwah dapat
disebarkan kepada ummah dan masyarakat dan tahap penerimaan masyarakat
pada Islam sebagai cara hidup mereka,” tegasnya dalam satu kenyataan
hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, pada sudut ukuran tarbiyyah pula, kejayaan PAS
dilihat kepada sejauh mana mereka yang berada dalam jamaah dapat
ditingkatkan peranan menjadi amilin kepada perjuangan Islam.
Sumber: Mynewshub.cc