PAS Terkeluar Dari Pakatan Rakyat 18 Mac Ini?


Kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat seolah berada di hujung tanduk apabila DAP memberi kata dua kepada parti itu sekiranya terus mahu membentang rang undang-undang syariah pindaan berkenaan hukum hudud di Parlimen.

Ahli Parlimen DAP yang juga merupakan anak lelaki mendiang Karpal Singh, Gobind Singh menegaskan bahawa PAS bukan lagi sebahagian dari Pakatan Rakyat jika membentangkan hudud di Parlimen pada 18 Mac depan.

Gobind Singh turut menegaskan bahawa perlaksanaan hudud bukan merupakan sebahagian daripada dasar bersama gabungan ketiga-tiga parti pembangkang itu dan tindakan PAS itu dilihat mencabuli Pakatan Rakyat.

"PAS tidak patut memberi amaran kepada DAP untuk tidak mencampuri urusan Kelantan,” kata Gobind yang juga merupakan seorang peguam.

Selain itu, anak bekas Pengerusi DAP itu juga menegaskan bahawa DAP punya hak untuk menentang tindakan PAS itu kerana hudud dikatakan bertentangan dengan dasar yang dipersetujui di dalam Pakatan Rakyat.

"PAS harus ingat bahawa selagi ia memilih kekal dalam Pakatan, DAP bukan sahaja mempunyai hak tetapi terikat dengan tanggungjawab untuk memastikan PAS tidak bertindak menjejaskan kerangka dasar bersama Pakatan,” katanya yang dipetik dari sebuah portal.

Gobind juga dalam kenyataannya mahu PAS menghormati keputusan yang dibuat oleh mesyuarat kepimpinan tertinggi sebelum ini jika mahu terus bersama di dalam Pakatan Rakyat.

Jika pindaan itu diteruskan, Gobind memberi amaran bahawa pemimpin PAS harus berani mengakui bahawa mereka memaksa PAS menjauhi Pakatan Rakyat, sekali gus menyebabkan kewibawaannya dalam memperkukuh gabungan parti pembangkang itu akan dipersoal.

PAS sebelum ini bertelagah dengan DAP berhubung perlaksanaan hudud di Kelantan dan Pilihanraya Ahli Majlis Tempatan di Pulau Pinang.

Meskipun cuba dileraikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, suara Ketua Pembangkang itu seolah tidak lagi laku di mata PAS dan DAP khususnya setelah dia didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan. -Kedahnews.com