KUALA LUMPUR – Selesa dan cantik dipandang, tetapi rupa-rupanya ada
kisah kurang enak di sebalik Pasar Transit Jalan Raja Bot, atau dulunya
lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit.
Secara luaran, pasar tersebut dilihat tidak kurang meriah berbanding
pasar lama yang sebahagian strukturnya telah dirobohkan bagi memberi
laluan kepada pembinaan kompleks pasar baharu, namun masalah dan
kebimbangan yang dihadapi peniaga di dalamnya tiada siapa yang tahu.
Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kawasan Chow Kit,
Yusnaidi Idrus berkata, dari pandangan hadapan, pasar transit tersebut
kelihatan sempurna, tetapi sejak dipindahkan ke situ, pendapatan
sebahagian peniaga ‘tidak sesempurna’ dulu.
Katanya, selain ‘kekeringan’ pelanggan kerana peniaga ditempatkan di
lokasi tidak strategik, timbul isu kemudahan asas seperti tandas rosak,
tiada bekalan air dan elektrik, sekali gus menimbulkan masalah buat
peniaga dan pelanggan.
“Pendapatan peniaga jatuh antara 30 hingga 70 peratus, terutama yang
dipindahkan di bahagian belakang dan yang berniaga di pasar lama yang
bakal dirobohkan.
“Ada yang langsung tutup kedai dan kerja makan gaji kerana kurang
pelanggan dan pendapatan terjejas teruk,” katanya kepada mStar Online.
Sebelum ini mStar Online menyiarkan laporan khas bertajuk
‘Transformasi Pasar Chow Kit Bakal Kikis Budaya Niaga Di Takuk Lama’
dalam usaha kerajaan mewujudkan kompleks pasar moden di tapak sama.
Yusnaidi atau lebih senang disapa sebagai Edi kemudian mendedahkan
bahawa di sebalik keindahan pasar itu, nasib peniaga, terutama di Zon 1B
dan Zon 1C wajar diberi perhatian dan mendapat pembelaan segera kerana
kesannya mula dirasai.
“Sementara tunggu pasar baharu siap pada 2017, tak pasti bisnes kita sekarang dapat bertahan atau tidak.
“Sekarang pun timbul macam-macam masalah. Pasar dijangka siap pada
2017 tapi tengok proses pembinaannya, kita rasa ia mungkin makan masa
lebih panjang,” katanya.
Jelasnya, kedudukan dua zon tersebut di belakang dan tersembunyi,
ditambah pula tiadanya papan tanda promosi seperti yang dijanjikan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum peniaga dipindahkan menyebabkan
bahagian itu terus sunyi dan terpinggir.
Beliau berkata, walaupun kemudahan di Zon 1C hampir lengkap, bersih
dan selesa, namun ia tidak memberi makna apabila kewujudannya tidak
diketahui, khususnya di tingkat satu yang mempunyai medan selera.
“Kebanyakan yang makan di medan selera adalah rakan peniaga di sini saja.
“Ramai pelanggan lebih suka makan atau beli makanan di luar yang
mudah untuk mereka. Di medan selera pula, kalau ada pelanggan sesat,
adalah rezeki peniaga,” katanya.
Katanya, beberapa inisiatif sendiri terpaksa diambil oleh persatuan
termasuk memasang bannner untuk promosi kerana mendakwa DBKL tidak
menunaikan janji memasang papan tanda.
Mengenai nasib peniaga di Zon 1B, beliau berkata, selain perlu
berniaga dalam suasana suram dan gelap, peniaga terpaksa berkongsi
bekalan elektrik antara satu sama lain dan mendapatkan bekalan air dari
paip.
Jelasnya, peniaga di Zon 1A ‘terselamat’ kerana terletak di hadapan,
namun cadangan asal yang menetapkan peniaga di situ hanya menjual
buah-buahan dan sayur-sayuran terpaksa diabaikan peniaga apabila mereka
terpaksa mencampur-adukkannya dengan barang jualan lain untuk
menyelamatkan ‘periuk nasi’ masing-masing.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan aduan
melalui Perbadanan Kampung Baru (PKB) untuk disampaikan kepada DBKL
namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.
Kesal nasib peniaga tidak diberi perhatian, beliau berkata, DBKL
sepatutnya mengambil tahu perkembangan peniaga setelah dipindahkan dan
mengadakan mesyuarat dengan wakil peniaga untuk mendengar luahan hati
dan cadangan dalam memastikan setiap pihak dapat menjalankan urusan
dengan lancar.
“Kita minta DBKL buat perjumpaan, sebelum pindah boleh buat, bila dah
pindah tak ambil tahu, boleh hidup ke peniaga kat sini. Kesannya dah
rasa sekarang sedangkan projek lama lagi nak siap,” katanya.
mStar Online kini sedang dalam proses mendapatkan maklum balas
daripada DBKL dan pihak lain yang bertanggungjawab berhubung masalah
ini. – mStar