KUALA LUMPUR – Penurunan harga barangan di pasar tani bermula semalam sebagai usaha kerajaan mengurangkan harga barang selaras dengan
penurunan harga minyak, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata menerusi ‘Program Jualan Turun Harga Pasar Tani’ itu,
kadar penurunan harga adalah antara lima hingga 20 peratus melibatkan 73
jenis barang dan produk berasaskan pertanian yang segar, kering dan
diproses.
“Penurunan harga itu bermula hari ini … bagi membantu rakyat yang
kini merungut tentang harga barangan yang tidak turun sedangkan harga
minyak turun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu
di Pasar Tani Taman Melawati di sini.
Ismail Sabri berkata buat masa ini, kementerian tidak menetapkan had
tempoh tertentu bagi pelaksanaan program itu di 570 pasar tani sedia ada
di seluruh negara.
“(Peniaga) di pasar tani boleh turunkan harga, kenapa orang lain
tidak boleh, sepatutnya tidak ada alasan lagi … (peniaga) pasar tani
turut hadapi benda yang sama,” katanya.
Beliau berkata menerusi program penurunan harga itu, ia tidak akan
menjejaskan keuntungan peniaga kerana mereka masih boleh memperoleh
keuntungan daripada hasil jualan.
Ismail Sabri berkata kementerian akan memantau peniaga di pasar tani
supaya mereka mematuhi pelaksanaan program berkenaan antaranya dengan
meletakkan nombor hotline di setiap gerai bagi membolehkan pelanggan
membuat sebarang aduan.
“Kalau ada peniaga yang tidak ikut, kita akan ambil tindakan dengan
menyingkirkan mereka serta-merta daripada berniaga di pasar tani … saya
serius,” katanya.
Beliau turut menyarankan pengguna agar berbelanja secara bijak dengan membeli barangan pada tawaran harga yang lebih baik.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 50 pasar tani lagi
disasarkan dibuka tahun ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membuka
1,000 pasar tani di seluruh negara menjelang 2020.
Beliau berkata kementerian juga sedang merancang untuk mewujudkan
pasar tani kekal bagi membolehkan pasar tani beroperasi setiap hari dan
bukannya sekali atau dua kali seminggu. – BERNAMA