KUALA LUMPUR – Minat berterusan pengguna Malaysia terhadap telefon
pintar meningkatkan jualan tahunan peranti untuk mencapai rekod jualan
tertinggi baharu pada 2014, sebanyak 8.5 juta unit.
Sejajar dengan peningkatan permintaan, pasaran telefon pintar
mengekalkan pertumbuhan positif bagi tahun ke-10 berturut-turut sejak
peranti itu diperkenalkan di negara ini pada 2004.
Berdasarkan audit runcit GfK, pengguna-pengguna Malaysia sudah
membelanjakan kira-kira AS$2.66 bilion (RM8.74 bilion) untuk peranti
popular berkenaan dari bulan Januari hingga Disember tahun lalu.
Walaupun jumlah jualan meningkat, jumlah dibelanjakan pengguna
menurun empat peratus berbanding 2013 akibat penurunan harga telefon
pintar di negara ini.
Pengarah Urusan GfK di Malaysia, Selinna Chin, berkata sepanjang tahun 2014, kemasukan pesaing baru yang kuat di pasaran telefon
pintar menawarkan lebih pilihan pada harga lebih berpatutan kepada para pengguna.
“Permintaan mencapai puncak tertinggi pada bulan Disember yang mana
jumlah jualan bulan itu hampir 769,000 unit, iaitu 106,000 unit lebih
daripada bulan dengan jualan terendah,” katanya dalam satu kenyataan di
sini hari ini.
Pasaran di seluruh negara menunjukkan pertumbuhan yang stabil pada
tahun 2014 dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan menyumbang 46 peratus
daripada jumlah jualan negara.
Mengikut GfK, kenaikan jualan tertinggi disumbangkan oleh segmen
telefon pintar berharga antara AS$150 hingga AS$200 (RM541-RM722).
Berbanding tahun 2013, sumbangan segmen berkenaan meningkat daripada
10 peratus bahagian pasaran kepada 16 peratus pada tahun 2014,
menjadikannya segmen terbesar dalam pasaran tempatan.
“Permintaan untuk telefon pintar berharga kurang dari AS$200 (RM722)
akan berterusan pada tahun 2015, didorongi aneka pilihan jenama yang
sedia ada, kemajuan dalam spesifikasi teknikal, pemasaran agresif, serta
penurunan harga.
Faktor utama berkenaan akan menggalakkan pengguna untuk menggantikan telefon pintar mereka.
Sementara itu, dalam kaji selidik GfK di seluruh negara, hampir
separuh daripada responden menyatakan harga adalah faktor penentu
terutama dalam pemilihan telefon pintar.
Kenyataan ini juga disokong oleh trend menaik dalam jualan telefon
pintar dari segmen harga rendah hingga pertengahan – segmen yang
dikuasai oleh pengeluar China.
Akibatnya, harga purata telefon bimbit menurun daripada AS$351 (RM1,106) pada tahun 2013 kepada AS$315 (RM1,031) pada 2014.
Dalam tahun 2014, audit runcit GfK menunjukkan peningkatan sebanyak
19 peratus dalam permintaan telefon pintar dengan saiz skrin besar
antara 4.1 inci hingga kurang 7-inci berbanding tahun 2013. Laporan
terkini juga menunjukkan penembusan telefon pintar Android berterusan
yang membawa sumbangan sistem operasi Android daripada 85 peratus pada
tahun 2013 kepada lebih dari 90 peratus pada tahun 2014.
“Sembilan dalam sepuluh unit telefon pintar yang dijual di Malaysia
menggunakan sistem operasi Android dan ini tidak menghairankan kerana 40
dalam 59 jenama telefon pintar menggunakan sistem Android,” kata Chin.
Infrastruktur rangkaian LTE negara yang semakin maju juga merangsang
pertumbuhan telefon pintar dilengkapi teknologi LTE. Jualan segmen ini
naik hampir dua kali ganda pada tahun 2014 berbanding tahun 2013.
Pada
tahun 2013, hanya 17 peratus daripada telefon pintar yang dijual
dilengkapi fungsi LTE dan jualan kini telah melonjak kepada hampir 29
peratus dengan tiga dalam setiap 10 unit yang dijual dilengkapi fungsi
LTE.
GFK adalah agensi penyelidikan yang beribu pejabat di Jerman. – BH Online