Pekerja Asing Di Cameron Highlands "Disogok" Habuan Seks Oleh Majikan?

Dalam satu pendedahan sensasi, ada perkhabaran baru-baru ini yang mendakwa perkhidmatan seks ditawarkan buat pekerja asing bagi menarik minat mereka untuk tidak lari ke tempat lain di Cameron Highlands.

Menerusi laporan dari sebuah portal, beberapa petani bertindak membawa masuk pelacur dari China dan Thailand untuk memuaskan nafsu pekerja mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke ladang-ladang sekitar.

Menurut salah seorang petani di situ, Balan (bukan nama sebenar), perkhidmatan seks itu disebarkan secara mulut ke mulut dan sindiket membawa sendiri pelacur masuk ke tempat-tempat terpilih bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Pekerja asing biasanya mendapatkan perkhidmatan seks di bahagian atas rumah kedai dan biasanya terdapat barisan panjang di bawah kerana permintaan yang tinggi.
 
Ia memberi risiko yang tinggi kepada sindiket pelacuran kerana barisan panjang menarik perhatian, maka pihak sindiket kini yang mengatur perkhidmatan penghantaran,” kata Balan.

All-round fun

Kata Balan lagi, pelacur-pelacur itu biasanya ‘melayan’ pelanggan mereka di hotel tetapi ia telah menarik perhatian ramai pihak yang mengesyaki aktiviti tersebut dijalankan di situ.

Lapor sumber itu, aktiviti tersebut dikatakan perlu untuk menarik minat pekerja ladang warga asing, lantas menahan mereka dari lari akibat tindakan tegas pihak berkuasa terhadap warga asing tanpa izin.

Menurutnya, sebelum ini, pihak petani terpaksa bersaing dengan menawarkan gaji yang tinggi buat para pekerja sebelum menggunakan perkhidmatan pelacuran sebagai alternatif.

"Ada sesetengah pekerja asing akan datang kerja sesuka hati mereka. Petani yang kekurangan pekerja tidak berani untuk memberhentikan pekerja ini. 

"Tindakan yang diambil hanyalah memotong gaji pada hari mereka tidak datang bekerja,” ujarnya.

Malah dakwanya, ada petani yang menawarkan khidmat berhutang buat pekerja asing bagi mendapatkan khidmat seks iaitu sekitar RM50 sejam.

"Petani akan membuat bayaran awal kepada sindiket dan jumlah akan dipotong daripada gaji pekerja asing setiap bulan", katanya lagi.

Tambahnya, aktiviti tersebut sudah dihidu oleh penduduk sekitar namun tidak berani untuk membuat laporan kerana bimbangkan keselamatan mereka terancam sindiket berkenaan. -Kedahnews.com