LANGKAWI – Seekor pelanduk putih yang ditangkap seorang pencari madu lebah kini menjadi tumpuan ramai.
Rumah Jismani Hasan, 41, yang terletak di lerang bukit di Kampung Buluh Penyumpit menjadi tumpuan sejak seminggu lalu.
Pelanduk ini yang dinamakannya “Awang Putih’ merupakan yang kedua
ditemui di Langkawi dalam tempoh 14 tahun, selepas seekor lagi ditemui
pada tahun 2001 di Hutan Simpan Bukit Tekuh.
Menceritakan bagaimana beliau menangkap pelanduk itu, Jismani berkata
pada mulanya pelanduk atau napuh setinggi kira-kira 17 sentimeter itu
ditemuinya sedang minum di sebuah anak sungai, ketika beliau masuk ke
dalam hutan berdekatan kampungnya bagi mencari madu.
“Saya pada mulanya rasa seram juga apabila terserempak dengan
pelanduk itu sebab hari sudah senja. Sebelum ini saya selalu jumpa
pelanduk, tetapi yang biasa berwarna perang,” katanya yang juga seorang
pengamal perubatan tradisional.
Namun Jismani yang ditemani seorang anaknya bertekad untuk menangkap
haiwan itu dengan menggunakan pukat yang kebetulan turut dibawanya.
“Pada mulanya pelanduk itu berjaya memboloskan diri, namun saya dan
anaknya terus mengejar sebelum berjaya menangkapnya,” katanya.
Mungkin sudah rezekinya, pada masa yang sama beliau turut berjaya
menangkap seekor pelanduk biasa yang kebetulan berada berhampiran
pelanduk putih berkenaan.
Sejak tertangkap pelanduk putih itu, rumahnya sering dikunjungi orang ramai.
Menceritakan lebih lanjut, Jismani berkata kira-kira 14 tahun lepas,
datuknya yang merupakan pengamal perubatan tradisional menemui seekor
kera putih berdekatan kawasan kebun getah di Bukit Temin.
Ditanya sama ada berlaku sebarang kejadian pelik kepadanya selepas
menangkap pelanduk itu, beliau berkata: “Tidak ada perkara pelik-pelik,
cuma saya rasa rezeki saya bertambah sedikit”.
Pelanduk putih turut mempunyai kaitan dengan sejarah pembukaan negeri
Melaka, apabila Parameswara iaitu putera raja dari Palembang yang
melarikan diri dari peperangan di Majapahit sehingga sampai ke muara
Sungai Melaka, telah menyaksikan kehebatan seekor pelanduk putih
menendang anjing perburuannya, sehingga menyebabkan baginda memutuskan
untuk membuka negeri di situ mengambil sempena nama pohon Melaka tempat
baginda sedang bersandar. – BERNAMA